zanariah_mutalib@bh.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya dari Pakistan, Shehbaz Sharif, antara lain membincangkan mengenai hubungan dua hala dan kerjasama dalam pelbagai bidang.
Selain bertukar ucapan Aidilfitri, kedua-dua pemimpin juga menyentuh mengenai perkembangan terkini di Gaza.
Perdana Menteri berkata, persahabatan antara Malaysia dan Pakistan yang semakin erat, membuka ruang untuk meneroka pelbagai kerjasama baharu, terutama ketika pertemuannya dengan Shehbaz di Pakistan pada Oktober tahun lalu.
Perdana Menteri memaklumkan, jumlah pelaburan Pakistan di Malaysia berkembang baik dan kini mencecah kira-kira AS$397 juta (RM1.76 bilion).
“Saya mengalu-alukan lebih banyak pelaburan baharu, terutama dalam bidang pertanian, petrokimia dan biojisim.
“Kami juga sempat menilai semula memorandum persefahaman (MoU) yang dipersetujui sebelum ini, terutama terkait pelaburan, perdagangan, pendidikan, penyelidikan dan pembangunan serta sains.
“Insya-Allah, kami sepakat mahu menyegerakan sebarang urusan tertunggak untuk segera merealisasikan kerjasama ini,” kata beliau melalui Facebooknya.
Mengenai Gaza, Perdana Menteri berkata, Israel sudah melanggar perjanjian gencatan senjata dan menggagalkan usaha damai menerusi serangan ganas terhadap rakyat Palestin.
Beliau dan Shehbaz juga bertukar pandangan dan menyelaras idea mengenai menghentikan keganasan dan pemulihan semula Gaza.
Perdana Menteri berkata, beliau juga menantikan kunjungan Shehbaz yang buat pertama kalinya akan ke Malaysia pada 9 Mei depan.
“Mendoakan semoga keberkatan Ramadan dan Aidilfitri membawa rahmat buat hubungan persahabatan Malaysia-Pakistan demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




