am@hmetro.com.my
Baling: Mayat kanak-kanak ditemukan di Sungai Kupang, di sini, hari ini, dipercayai jasad Muhammad Fayyad Affan Mohd Fakhri, 4, yang hilang sejak Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar berkata, berdasarkan keadaan fizikalnya dipercayai milik mangsa dan mayat itu akan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, mayat itu ditemui 3.15 petang, hari ini oleh ahli keluarga Muhammad Fayyad Affan yang melakukan pencarian di tepi tebing Sungai Kupang ini.
“Mayat ditemui pada jarak kira-kira 500 meter dari rumah mangsa di kuarters Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kampung Landak Paya, Kupang, di sini.
“Proses bedah siasat terhadap mayat berkenaan dijangka akan dilakukan di HSB esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya turut melakukan pemantauan di kawasan Sungai Kupang hari ini meskipun operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan semalam.
Beliau berkata, pihaknya bertemu dengan ahli keluarga mangsa di kediaman mereka sejak pagi tadi untuk mengetahui perkembangan lanjut berhubung Muhammad Fayyad.
“Sebaik menerima maklumat penemuan mayat kanak-kanak, kami terus ke lokasi.
“Jasad mangsa sudah ditemui diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, dengan penemuan mayat mangsa, operasi tamat pada jam 4.52 petang, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak autisme, Muhammad Fayyad Affan Mohd Fakhri, 4, dilaporkan hilang ketika keluar daripada rumahnya di Kuarters JPS, Kampung Landak Paya, Kupang, Jumaat lalu.
Ketua BBP Baling sebak jasad ditemui di Hari Raya
‘Hari raya menyedihkan buat kami tanpa Fayyad’
© New Straits Times Press (M) Bhd




