Paris: Atlet terjun Mexico Aranza Vazquez mempersalahkan bunyi bising penonton selepas salah satu terjunannya ketika separuh akhir tiga meter papan anjal wanita tidak diberikan sebarang mata oleh juri sekali gus gagal ke final di Sukan Olimpik Paris, hari ini.
Aranza, 21, yang menduduki tempat ketiga pada pusingan awal, mencecah air dengan kocakan yang kuat pada terjunan kelima.
Juri mengambil masa beberapa minit untuk mengesahkan terjunan atlet itu gagal dan Aranza hanya mendapat mata kosong.
“Dia sangat kecewa. Seperti yang anda lihat, dia penerjun yang bagus,” kata Jose Gomez Ruiz, jurucakap delegasi Olimpik Mexico.
Ruiz berkata Aranza membuat aduan serta merta selepas terjunan itu susulan tumpuannya terjejas akibat bunyi bising penonton yang menyebabkan terjunannya tidak seperti diharapkan.
“Sejurus sebelum wisel juri, dia mendengar bunyi bising yang mengganggu dia dan dia gagal terjun dengan kemas,” kata Ruiz.
Namun, mereka menyedari aduan itu tidak akan mengubah peraturan dan tiada terjunan semula dilakukan manakala Aranza enggan bercakap dengan media.
© New Straits Times Press (M) Bhd