UMNO mahu pentadbiran negara kekal dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia, sebagaimana yang dipersetujui menerusi perjanjian asal pembentukan kerajaan yang mengandungi 18 perkara.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penggunaan gagasan Malaysia Madani sebagai wawasan atau ‘war cry’ tidak menjadi isu, namun penggunaan istilah ‘Kerajaan Madani’ sebagai rujukan kepada pentadbiran dilihat tidak menepati kesepakatan awal pembentukan kerajaan.
Menurut beliau, Perjanjian Pembentukan Kerajaan Perpaduan yang mengandungi 18 perkara dengan jelas menetapkan nama kerajaan tersebut sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Daripada awal lagi disebutkan supaya kita harus menghormati perkara yang termaktub dalam perjanjian.
“Kerajaan ini bukan kerajaan satu parti. Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah (sebagai Perdana Menteri), sebuah perjanjian melibatkan 18 parti dimaktubkan dan dinamakan Perjanjian Pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia,” katanya pada sidang akbar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Sabtu.
Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Asyraf Wajdi berkata status kerajaan yang dibentuk melalui gabungan pelbagai parti turut memerlukan pendekatan pentadbiran yang berbeza berbanding kerajaan terdahulu.
Artikel lain: Asyraf Wajdi tolak tuduhan UMNO atau BN khianat Kerajaan Perpaduan
Beliau berkata, Perdana Menteri perlu memastikan proses rundingan dan konsultasi terus dilaksanakan bersama semua parti yang menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
