AUKU perlu diganti perundangan lebih komprehensif – Saifuddin

KUALA LUMPUR – Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 perlu diteliti dan diganti dengan perundangan lebih komprehensif.

Pengerusi Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, isu kebebasan mahasiswa perlu dilihat secara menyeluruh termasuk menilai ruang kebebasan yang sudah dipinda sebelum ini.

“AUKU telah dipinda beberapa kali termasuk pada tahun 2012 semasa menjadi Timbalan Menteri KPT, saya dapat meyakinkan kerajaan agar Seksyen 15 yang menyekat kebebasan mahasiswa dipinda.

“Dengan pindaan itu, mahasiswa diizinkan menyertai politik termasuk bertanding dalam pilihan raya umum dan kemudiannya membolehkan mahasiswa Universiti Malaya (UM), P Prabakaran bertanding di kawasan Parlimen Batu dan menang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Saifuddin berkata, terdapat juga isu pengurusan sesetengah universiti yang didakwa bersifat drakonian sehingga menyalahgunakan AUKU bagi membendung kebebasan mahasiswa.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, ruang kebebasan mahasiswa boleh diperbaiki melalui pindaan AUKU, manakala kelemahan pengurusan universiti perlu ditangani tanpa melibatkan pindaan akta.

“Namun kebebasan bukan melibatkan mahasiswa sahaja, ia juga melibatkan kebebasan ahli akademik.

“Soal kebebasan ini bukannya terhad hanya pada kebebasan bersuara dan berpersatuan, tetapi melibatkan soal yang lebih luas, iaitu roh universiti serta kecemerlangan akademik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Saifuddin mengingatkan bahawa AUKU bukannya semata-mata undang-undang hanyamengurus ehwal kebebasan dan disiplin mahasiswa kerana ahli akademik turut tertakluk kepada undang-undang lain.

Katanya, AUKU merupakan akta induk yang menguruskan universiti dan kolej universiti dari aspek penubuhan serta pentadbirannya.

“Maknanya, jika AUKU dimansuhkan, ia perlu ada penggantinya. Sebab itu, dalam Cadangan Reformasi Pendidikan PN (diterbit 21 September 2024) dari aspek perundangan dan governans, kami mencadangkan supaya ‘Menggantikan AUKU dengan perundangan baru yang lebih baik dan komprehensif’.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Parlimen tentang Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia (JKPK), ahli jawatankuasa telah mendapat kesefahaman mengundang Menteri Pendidikan Tinggi ke mesyuarat bagi membincangkan perkara ini dengan mendalam,” katanya.

 

 

Scroll to Top