Ayob Khan akhiri perkhidmatan 35 tahun bersama PDRM, Ibrahim Darus pangku jawatan Timbalan Ketua Polis Negara

Ayob Khan akhiri perkhidmatan 35 tahun bersama PDRM, Ibrahim Darus pangku jawatan Timbalan Ketua Polis Negara

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Ibrahim Darus memangku jawatan Timbalan Ketua Polis Negara baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau memangku jawatan itu selepas Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay yang bersara wajib esok selepas hampir 35 tahun berkhidmat dalam pasukan keramat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Ayob Khan dilantik Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa 23 Jun 2023 bagi menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang ketika itu dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Negara.

Ayob Khan dilahirkan pada 27 Julai 1966 di Kota Setar, Kedah.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kontinjen.

Beliau mula menjalani latihan (bersama PDRM) pada 1991 dan memulakan tugas pada tahun 1993.

Ayob Khan mula dikenali ketika berkhidmat di Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman dari tahun 2013 hingga 2019.

Beliau mengetuai pelbagai operasi penting, termasuk menggagalkan puluhan rancangan serangan militan dan menyiasat kes-kes berprofil tinggi seperti Daesh dan Kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Pada 2020, beliau dilantik sebagai Ketua Polis Johor dan berjaya melumpuhkan beberapa kumpulan terancang termasuk sindiket diketuai oleh Nicky Liow.

Beliau kembali ke Bukit Aman pada 2022 sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik sebelum bertukar sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top