Bank makanan: KPDNHEP tingkat kerjasama pemain industri, komuniti 

Bank makanan: KPDNHEP tingkat kerjasama pemain industri, komuniti 

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengalu-alukan pelbagai bentuk kerjasama dengan para pemain industri dan komuniti masyarakat untuk Program Bank Makanan Malaysia (PFBM).

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, tanggungjawab menghulurkan bantuan dan membantu masyarakat tidak terletak pada bahu kerajaan semata-mata.

Katanya, kementerian sentiasa meneroka potensi yang ada kerana tidak semua kerjasama adalah dalam bentuk peruntukan kewangan.

“Kita kena lihat perkongsian strategik dengan pihak industri seperti peruncitan dan pengedaran, perhotelan serta katering untuk terlibat sama meningkatkan bank makanan. Inilah cara mereka untuk tunjukkan sumbangan dalam bentuk tanggungjawab sosial masyarakat.

“Kita mengalu-alukan jika mereka ingin beri sumbangan. Masa saya ke Perlis dulu kita ada pusat khidmat dewan undangan negeri (DUN) yang digunakan sebagai tempat untuk menyampaikan barang-barang keperluan kepada yang memerlukan.

“Keperluan ini disumbangkan oleh individu-individu. Ini adalah budaya sihat dan kita wajar ketengahkan supaya rakyat Malaysia berganding bahu untuk membantu satu sama lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pusat Pengagihan dan Pengumpulan Bank Makanan Malaysia di Ayer Keroh di sini semalam.

Yang hadir sama Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam. – UTUSAN