Banyak khasiat daun sup yang ramai belum tahu

Lifestyle: Pasti ramai orang berfikiran bahawa daun sup sekadar perasa sahaja. Namun, sebenarnya banyak khasiat daun sup untuk tubuh badan manusia. Dikongsikan lima khasiatnya:

1. Mengurangkan tekanan darah tinggi

Dengan meminum air rebusan daun sup dapat mengurangkan tekanan darah tinggi. Cara penyediaan air ini sangat mudah iaitu:

a) Sediakan 100 gram daun sup yang segar.
b) Kemudian, tumbuk halus daun sup itu.
c) Masukkan daun sup yang sudah ditumbuk ke dalam bekas dan didihkannya bersama satu gelas air.
d) Biarkan ia sejuk dan sedia untuk diminum.

Amalkan sebanyak dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang. Ia mampu mengurangkan masalah tekanan darah tinggi.

2. Menurunkan kadar kolestrol

Daun sup kaya dengan kandungan zat besi, fosforus, natrium, kalium, vitamin A, B-Kompleks, C dan magnesium.

Bagi seseorang yang mempunyai masalah kolestrol, amalkanlah pemakanan yang mengandungi daun sup. Ini kerana dengan khasiat yang ada dalam daun sup ini dikatakan mampu menurunkan kadar kolestrol dalam badan.

3. Merawat batuk

Jika mengalami sakit tekak dan sering batuk, anda boleh mengamalkan minum air rebusan daun sup. Cara penyediaannya adalah rebus daun sup bersama batang dan akarnya sekali.

Kemudian, tapis dan campurkan air yang telah ditapis itu dengan madu. Kini ia sedia untuk diminum. Amalkan sebanyak dua kali sehari. Ia mampu merawat sakit batuk.

4. Meningkatkan sistem imunisasi badan

Amalan pemakanan daun sup juga mampu meningkatkan sistem imunisasi badan. Caranya adalah dengan pengamalan pemakanan daun sup secara mentah iaitu sebagai ulam-ulaman.

Ini kerana dalam 100 gram daun sup mempunyai nilai kalori tenaga sebanyak 18 kalori. Di samping itu, kandungan vitamin C yang terkandung dalam daun sup juga mampu menguat dan meningkatkan sistem imunisasi badan.

5. Melancarkan sistem perkumuhan

Bukan sahaja daun sup yang mempunyai banyak khasiat, malah biji benihnya juga boleh digunakan untuk melancarkan sistem perkumuhan.

Biji benih daun sup ini jika diamalkan mampu meningkatkan pengeluaran air kencing yang membantu menyingkirkan toksik dalam badan. Selain itu, ia juga membantu dalam melawaskan pembuangan air besar.

Justeru, ini adalah antara khasiat daun sup untuk kesihatan tubuh badan. Mulai hari ini, tambahkanlah daun sup dalam masakan untuk kesihatan diri anda.

Sumber: Sinar Plus

Akmal Hakim
Lifestyle Desk