am@hmetro.com.my
Sungai Golok: Seorang bekas pemain bola sepak Kelantan yang menjadi suspek utama dalam kes tembakan yang menyebabkan kematian seorang lelaki Malaysia pada November tahun lalu dijangka didakwa atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Narathiwat, bulan ini.
Ketua Polis Sungai Golok, Thun Sirikhunt berkata, suspek turut berdepan beberapa pertuduhan lain termasuk memiliki senjata api dan peluru secara haram, serta membawa senjata api di tempat awam tanpa permit atau alasan munasabah.
Menurutnya, suspek berusia 31 tahun itu akan dibawa ke mahkamah selepas tamat tempoh reman selama 84 hari.
“Suspek kini direman di Penjara Narathiwat sejak 2 November lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui New Straits Times semalam, sambil memaklumkan bahawa Mahkamah Narathiwat menolak permohonan ikat jamin suspek berikutan keseriusan kesalahan yang dihadapinya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki Malaysia dikenali sebagai Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, maut selepas ditembak di kediamannya di bandar Sungai Golok pada 1 November lalu.
Susulan kejadian itu, polis Thailand menahan suspek selepas dia menyerah diri pada 2 November.
Polis turut merampas dua pistol daripada suspek yang berasal dari Bereng, Sungai Golok.
Mangsa dilaporkan ditembak selepas berlaku pertengkaran dengan suspek dipercayai berkaitan hutang perniagaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




