Bekas pengurus GLC ditahan SPRM sekali lagi – Utusan Digital

JOHOR BAHRU: Seorang bekas pengurus syarikat milik kerajaan (GLC) yang tamat tempoh reman hari ini berhubung kes rasuah di Segamat, ditahan semula Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM Cawangan Segamat menahan suspek yang berusia 61 tahun itu bagi membantu siasatan berkaitan penyalahgunaan kuasa melibatkan pemberian projek-projek kepada dua anaknya bernilai lebih RM50,000.

Suspek yang ditahan pada Khamis lalu sepatutnya dibebaskan daripada reman hari ini tetapi ditahan sekali lagi bagi kes berasingan.

Dia ditahan bersama-sama dua anak lelakinya yang berusia 28 dan 34 tahun antara pukul 4 hingga 4.30 petang tadi.

Sementara itu, seorang lagi pengurus syarikat yang juga berusia 61 tahun ditahan bersama-sama pengurus GLC itu sebelum ini dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tamat tempoh reman.

Menurut sumber, sekitar Disember tahun lalu, suspek lelaki itu yang bertugas sebagai pengurus GLC di Segamat sebelum ini telah memberikan beberapa projek kepada dua anaknya yang memiliki syarikat sendiri.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan ketiga-tiga penahanan terbabit dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok bagi mendapatkan permohonan reman.

Akhbar sebelum ini melaporkan SPRM menahan pengurus GLC dan pengurus syarikat tersebut di pejabat SPRM Johor Bahru bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah melibatkan nilai RM500,000, pada Pada 6 Januari lalu.

Pengurus GLC itu telah menerima rasuah daripada pengurus syarikat terbabit sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja kontrak perladangan di daerah tersebut pada 2019 hingga 2020.