Pengurusan kuil dikompaun RM1,000 langgar SOP – Utusan Digital

PETALING JAYA: Tindakan kompaun sebanyak RM1,000 dikenakan polis terhadap pengurusan sebuah kuil di Batu Caves dekat sini kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) menerusi satu video yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Kompaun itu dikeluarkan selepas satu video berdurasi 45 saat yang tular semalam, membabitkan satu majlis keagamaan yang diadakan di kuil.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed berkata, siasatan dilakukan mendapati pihak pengurusan kuil berkenaan gagal mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 apabila tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

“Kami mengeluarkan kompaun terhadap pihak pengurusan kuil terbabit mengikut Perkara 16 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang membawa hukuman denda RM1,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi SOP PPN Fasa 4 yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

“Tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pertubuhan atau individu yang gagal mematuhi SOP terbabit,” jelasnya.