Boeing henti operasi 128 pesawat enjin PW4000

Washington : Boeing hari ini menghentikan operasi 128 daripada 777 pesawatnya yang menggunakan enjin PW4000 di seluruh dunia berikutan nahas Sabtu lalu.

Pengawal selia Amerika Syarikat (AS) masih menyiasat pesawat United Airlines yang terbakar enjinnya sehingga mengakibatkan serpihan komponen itu bertebaran jatuh di sebuah komuniti dekat pinggir bandar AS.

Lembaga Pengangkutan dan Keselamatan Nasional AS juga sedang menjalankan siasatan kejadian itu, di mana tiada kecederaan dilaporkan.

United Airlines, Korean Air dan dua syarikat penerbangan Jepun mengesahkan sudah pun menghentikan operasi 62 pesawat yang dilengkap enjin sama.

Justeru, Boeing dalam satu kenyataan, memberi amaran bahawa operasi pesawat menggunakan enjin sama harus dihentikan sehingga Pihak Berkuasa Penerbangan Persekutuan (FAA) menentukan prosedur pemeriksaan.

“Sementara siasatan NTSB sedang berjalan, syor kami adalah untuk menghentikan operasi 69 pesawat dalam perkhidmatan dan 59 pesawat 777 dalam simpanan yang dilengkapi enjin Pratt & Whitney 4000-112,” katanya.

Syarikat penerbangan Japan Airlines (JAL) dan All Nippon Airways (ANA), berkata masing-masing tidak membenarkan 13 dan 19 pesawat menggunakan enjin PW4000 tetapi mengelak pembatalan penerbangan dengan menggunakan pesawat lain.

Disember lalu, Kementerian Pengangkutan Jepun mengarahkan pemeriksaan enjin yang lebih ketat selepas pesawat JAL 777 dalam penerbangan dari Haneda ke Naha mengalami detik cemas apabila berdepan masalah ‘enjin dari keluarga sama’.

United Airlines berkata pihaknya secara sukarela mengeluarkan 24 pesawat Boeing 777 dari perkhidmatan dan menjangkakan ‘hanya sebilangan kecil pelanggan yang berdepan ketidakselesaan’.

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan Korea Selatan tidak memiliki rancangan segera untuk tidak membenarkan pesawat itu beroperasi tetapi menegaskan pihaknya sedang memantau keadaan.

Syarikat penerbangan terbesar Korea Selatan. Korea Air berkata pihaknya tidak membenarkan enam pesawat Boeing 777 dilengkapi enjin PW4000 beroperasi.

“Kami memutuskan untuk hentikan operasi semua pesawat 7777 dengan enjin PW4000 dan kami mengharapkan protokol FAA dikemaskini tidak lama lagi,” jelas syarikat itu kepada AFP dalam satu kenyataan.

FAA pada awalnya mengarahkan pemeriksaan tambahan dilakukan terhadap beberapa jet penumpang.

Ketua Pengawal Selia FAA, Steven Dickson, berkata beliau sudah mengadakan rundingan dengan beberapa pakar dan kemungkinan beberapa pesawat akan dikeluarkan dari perkhidmatan.

“Saya minta mereka mengeluarkan Arahan Kelayakan Udara Kecemasan yang memerlukan pemeriksaan segera atau selanjutnya ke atas pesawat Boeing 777 yang dilengkapi enjin Pratt & Whitney PW4000 tertentu,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Dickson, tinjauan data keselamatan awal menunjukkan perlunya pemeriksaan tambahan pada bilah kipas enjin jet yang unik untuk model enjin dan hanya digunakan pada pesawat Boeing 777.

Sumber – Berita Harian

Malay News
World Desk