mdroji@bh.com.my
Kuching: Satu lagi mangsa bot karam di Belawai di Mukah ditemukan lemas hari ini menjadikan keseluruhan mangsa lemas dalam kejadian itu kini lima orang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa kelima itu, kanak-kanak lelaki dijumpai pada 6 petang pada jarak 300 meter ke hilir dari pusat kawalan operasi bomba (PKOB).
“Berikutan penemuan terbaharu itu, jumlah mangsa yang masih hilang adalah lima orang,” katanya.
Difahamkan semua 17 individu yang menaiki bot gentian kaca yang terbabit dalam kejadian itu adalah warga Indonesia, namun identiti mereka masih belum diperoleh.
Seramai tujuh daripada mereka iaitu empat lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki selamat dalam kejadian kira-kira jam 2 petang semalam.
Lima yang disahkan lemas ialah dua wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan manakala lima yang masih hilang adalah semua lelaki dewasa.
Ketika kejadian itu, bot yang mereka naiki dalam perjalanan dari jeti nelayan Kampung Belawai menuju ke jeti Ladang kelapa (Zon Pelita).
Difahamkan bot turut membawa barangan keperluan harian yang mereka beli di Belawai.
JBPM menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.11 petang semalam dan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis diarah ke lokasi yang terletak 22 kilometer dari balai itu.
Menurutnya lagi, operasi pencarian di tepi pantai kini dijalankan oleh anggota menggunakan penyelamat bomba dan dibantu oleh bot agensi Sarawak Coast Guard.
© New Straits Times Press (M) Bhd