Puebla: Piala Dunia 2026 bakal menjadi penutup sempurna buat jurulatih Afrika Selatan, Hugo Broos apabila dia kembali ke Stadium Azteca, lokasi yang menyimpan kenangan istimewa dalam kariernya sejak 40 tahun lalu.
Pengendali berusia 74 tahun itu akan membimbing Afrika Selatan menentang tuan rumah bersama, Mexico dalam aksi pembukaan Piala Dunia, awal pagi Jumaat ini di stadium ikonik berkenaan.
Kembalinya Broos ke Azteca cukup bermakna kerana dia pernah beraksi di venue sama sebagai pemain Belgium ketika menentang Mexico pada perlawanan pembukaan Piala Dunia 1986.
Ketika itu, Belgium tewas 1-2 di hadapan lebih 110,000 penyokong, namun pengalaman beraksi di pentas terbesar bola sepak dunia itu kekal terpahat dalam ingatannya.
“Ia pengalaman yang luar biasa dan sesuatu yang tidak akan saya lupakan. Ketika itulah saya benar-benar merasai betapa istimewanya Piala Dunia,” katanya.
Broos mengakui dia teruja dapat kembali ke stadium bersejarah itu empat dekad kemudian, kali ini sebagai ketua jurulatih yang mengemudi cabaran Afrika Selatan.
Untuk beberapa jam, dia juga bakal memegang status sebagai jurulatih tertua yang mengendalikan pasukan di Piala Dunia 2026 sebelum rekod itu diambil alih jurulatih lain yang lebih berusia pada perlawanan berikutnya.
Broos sebelum ini sudah menyatakan hasrat untuk bersara selepas tamat kejohanan, selaras janji yang dibuat kepada isterinya.
Menurutnya, dia semakin sukar mengekalkan tenaga dan motivasi untuk terbabit sepenuh masa dalam dunia bola sepak selepas bertahun-tahun berada di dalam bidang itu.
“Saya sudah tidak mahu hidup dengan bola sepak setiap hari. Ada masanya saya terpaksa memaksa diri untuk duduk di depan komputer dan menonton semula perlawanan lawan,” katanya.
Afrika Selatan dianggap pasukan bukan pilihan dalam Kumpulan A, namun Broos melihat status itu sebagai kelebihan kerana tekanan lebih terarah kepada pasukan lawan.
Dia percaya anak buahnya mampu mencipta kejutan walaupun mengakui aksi pembukaan menentang Mexico di hadapan puluhan ribu penyokong tuan rumah bakal menjadi ujian getir.
“Kebanyakan pemain saya tidak pernah beraksi dalam suasana seperti ini. Kami perlu kekal berpegang kepada pelan permainan dan tidak terpengaruh dengan suasana di tempat duduk penonton,” katanya.
Broos turut memasang impian untuk membawa Afrika Selatan melepasi peringkat kumpulan buat kali pertama dalam sejarah penyertaan negara itu di Piala Dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




