Hanau, Jerman: Seorang hakim berusia 56 tahun dibicarakan di mahkamah tengah Jerman pada Selasa atas dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap seorang rakan sejawat wanita, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pihak pendakwaan percaya bahawa hakim berkenaan “menyentuh seorang hakim pelatih wanita secara fizikal dengan aksi berbaur seksual dalam beberapa kejadian, sekali gus mengganggu mangsa” antara September 2023 dan Februari 2025.
Beliau juga didakwa mengancam hakim pelatih terbabit, namun pihak pembelaan menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai “tidak berasas.”
Menurut pertuduhan, defendan didakwa melakukan perbuatan dalam beberapa kejadian di premis Mahkamah Daerah Kassel.
Pihak pendakwaan turut menyatakan bahawa lelaki itu memberi tekanan kepada mangsa dengan mengancam untuk memberikan ulasan prestasi yang negatif, selain memberi bayangan tentang kemungkinan mangsa akan dipindahkan ke tempat lain.
Menurut pihak pendakwaan lagi, wanita berkenaan menjelaskan bahawa dia mahu mengekalkan hubungan profesional yang murni dengan hakim itu.
Bagaimanapun, akibat bimbang dipindahkan dari Kassel memandangkan bapanya memerlukan jagaan rapi, hakim pelatih itu terpaksa bersabar dengan perbuatan lelaki berkenaan untuk tempoh lama.
Pihak pendakwaan berkata, menjelang Februari 2025, “ancaman tersembunyi yang berterusan” itu menjadi terlalu berat untuk ditanggung oleh mangsa, mendorongnya memohon perpindahan ke Mahkamah Wilayah Kassel. Pertukaran itu berkuat kuasa pada Mei 2025.
Sementara itu, pihak pembelaan menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai “rekaan” dan hanya bersandarkan kepada khabar angin.
Mereka mendakwa bahawa sebelum hakim pelatih itu memulakan tugasnya, wujud situasi “saling bermain cinta” antara kedua-dua pihak. Malah, sepanjang tempoh yang dinyatakan oleh pihak pendakwaan, kedua-duanya berada dalam hubungan atas dasar suka sama suka, menurut pembelaan. “Anak guam kami tidak pernah berniat untuk memudaratkannya.”
Semasa prosiding mendengar keterangan wanita berkenaan – yang menyertai perbicaraan di Mahkamah Wilayah Fulda sebagai plaintif bersama – orang awam tidak dibenarkan berada di dalam mahkamah atas permintaan defendan.
Mahkamah pada peringkat awal menetapkan tujuh tarikh perbicaraan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




