Cadangan wajibkan penerima insentif buat caruman pekerja

Cadangan wajibkan penerima insentif buat caruman pekerja

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Shah Alam: Kerajaan akan mempertimbangkan untuk mewajibkan penerima insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) dan Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) demi menjaga kebajikan pekerja mereka.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan meneliti mekanisme terbaik bagi melaksanakan prosedur itu.

“Kita akan meneliti apakah cara dan mekanisme terbaik untuk memastikan kebajikan pekerja mereka terjaga.

“Jadi kita akan menggerakkan jentera di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk meningkatkan pemahaman dalam kalangan penerbit supaya mereka akan mencarumkan pekerja dalam projek-projek mereka.

“Saya juga akan berhubung dengan pihak RTM untuk mana-mana kandungan yang dihasilkan melalui RTM, dan kita memohon supaya penerbit juga memastikan pekerja-pekerja dalam projek-projek itu mencarum,” katanya.

Fahmi ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KWSP dan Finas di Menara KWSP, Kwasa Damansara, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin; Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman serta presiden-presiden persatuan.

Tambah Fahmi, pihaknya terbuka untuk mendengar apa sahaja cadangan daripada Finas serta penerbit-penerbit tempatan.

“Kita mesti wujudkan persefahaman yang mana secara asasnya kebajikan pekerja ini terbela dan terjamin. Jadi, kita nak terapkan perkara itu.

“Pada masa sama, saya lihat sekiranya ada dalam kalangan penerbit yang ingin mengadakan pertemuan dengan saya ataupun pihak Finas, kita galakkan, kita alu-alukan dan kita perlu bekerjasama.

“Saya juga akan minta supaya Finas berhubung dengan semua persatuan utama dan lain-lain bagi meningkatkan pemahaman mereka terhadap kepentingan untuk menyimpan di hari tua ini,” katanya.

Fahmi juga berharap agar angka daripada 70,000 penggiat seni yang mendaftar, bukan semua bekerja sepenuh masa.

Mereka dalam bidang perfileman ini sama seperti rakan-rakan wartawan yang mana mereka ‘part-time all the time’.

“Jadi saya ambil maklum perkara ini. Mungkin, kita harapkan sekurang-kurangnya dalam satu atau dua tahun yang akan datang, kita dapat tingkatkan sekurang-kurangnya 50 peratus,” katanya.

Setakat ini, daripada 70,000 pekerja seni yang mendaftar dengan KWSP, hanya enam peratus sahaja yang mencarum.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top