Dua kakitangan KPM maut kemalangan

Dua kakitangan KPM maut kemalangan

am@hmetro.com.my

Lipis: Dua kakitangan Kementerian Pendidikan (KPM) maut dalam kemalangan yang membabitkan kereta dan lori di Kilometer 15 Jalan Lipis-Jerantut, berdekatan Kampung Jeram Bungor, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, Nurshida Md Najib, 38, yang memandu kereta Proton Saga bersama penumpang hadapan, Nurulfarhana Yahaya, 31, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Ismail Man berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Saga dipandu mangsa dalam perjalanan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Purut menuju ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lipis untuk urusan kerja.

“Lori Daihatsu dipandu seorang lelaki bersama kelindan dalam perjalanan dari arah Gua Musang untuk ke Kampung Gemunchor, Mela untuk mengambil tayar.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kedua-dua kenderaan bertembung secara bertentangan,” katanya dalam kenyataannya, malam ini.

Katanya, kedua-dua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Lipis untuk tindakan lanjut, manakala pemandu lori berusia 31 tahun dan kelindan berusia 33 tahun dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini, boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Lipis di nombor 09-3121999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top