Bekas pemain bola sepak negara, Zaquan Adha sekali lagi mencuri perhatian selepas ada individu memuat naik hantaran berbaur fitnah dan sengaja mahu melaga-lagakan dirinya dengan pelakon Rita Rudaini.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di ruangan Instagram, suami kepada aktres Ayu Raudhah itu berkongsi tangkap layar posting berkenaan yang tular di platform Facebook.
Hantaran yang berbunyi ‘Didik anak-anak kau, jangan sakit nak mati ada orang cakap bukan-bukan fasal kau’ itu bagaimanapun tidak pernah dibuat oleh Zaquan sebelum ini.
“Cukup-cukuplah buat cerita yang nak melagakan orang.
“Kesian makcik bawang yang komen tak pasal dapat dosa kering,” tulisnya pada tangkap layar berkenaan.

Sebelum ini, Zaquan atau nama penuhnya, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak, 37, pernah terpalit dengan isu sama selepas seorang pengguna media sosial menghantar mesej mempersoalkan hubungan ibunya bersama Rita.
Sekadar info, abang kepada Zaquan iaitu Aidil Zafuan pernah mendirikan rumah tangga bersama Rita Rudainipada tahun 2008 dan kemudian bercerai pada 2013.
Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan dengan dua cahaya mata lelaki, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.




