‘Dashcam’ wajar diwajibkan seperti kerusi bayi – Peguam

‘Dashcam’ wajar diwajibkan seperti kerusi bayi – Peguam

KUALA LUMPUR – Kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan disaran meneliti keperluan mewajibkan atau sekurang-kurangnya menggalakkan pemasangan kamera papan pemuka atau ‘dashcam’ pada kenderaan persendirian.

Peguam, M Partiben berkata, pendekatan itu boleh dipertimbangkan sebagaimana pelaksanaan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang diperkenalkan bagi meningkatkan aspek keselamatan pengguna jalan raya.

Beliau berkata, ini kerana penggunaannya semakin signifikan dalam membantu siasatan serta proses perundangan.

Menurutnya, rakaman berkenaan kini memainkan peranan besar sebagai sumber bukti digital dalam pelbagai kes termasuk kemalangan jalan raya, langgar lari, buli jalan raya, ugutan jenayah dan beberapa kesalahan jenayah lain.

Katanya, kemajuan teknologi masa kini membolehkan video memberikan gambaran lebih tepat mengenai sesuatu insiden berbanding keterangan manusia yang mungkin dipengaruhi faktor emosi, persepsi atau masalah ingatan.

“Papan pemuka berfungsi seperti sistem kamera litar tertutup (CCTV) mudah alih yang merekodkan persekitaran kenderaan secara berterusan.

“Dalam banyak keadaan, rakamannya membantu penyiasat memahami perjalanan sesuatu kejadian dengan lebih terperinci dan tersusun, sekali gus memudahkan pembinaan semula kronologi insiden,” katanya.

Beliau berkata, ia berpotensi diterima sebagai bukti utama di mahkamah selagi kandungannya sahih, berkaitan dengan kes yang dibicarakan dan tidak diubah atau dimanipulasi.

Menurutnya, kualiti rakaman yang baik turut memberi nilai tambah kepada hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan ketika perbicaraan berlangsung.

Partiben berkata, penggunaan kamera itu terbukti banyak membantu dalam siasatan kes langgar lari yang diperuntukkan di bawah Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Katanya, video itu membolehkan maklumat penting seperti nombor pendaftaran kenderaan, identiti pemandu, masa kejadian dan laluan perjalanan dikenal pasti dalam tempoh yang singkat.

“Maklumat ini sangat berguna untuk mempercepatkan usaha mengesan individu yang meninggalkan lokasi kejadian selepas kemalangan berlaku,” katanya.

Beliau berkata, rakaman terbabit turut menjadi antara bukti penting dalam kes berkaitan buli jalan raya dan ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, banyak kejadian melibatkan tindakan agresif, halangan terhadap kenderaan lain serta ancaman lisan berjaya dirakam dan kemudiannya digunakan dalam siasatan serta prosiding mahkamah.

“Berbekalkan rakaman tersebut, mahkamah tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada keterangan saksi yang mungkin melihat atau mentafsir sesuatu kejadian secara berbeza.

“Ia membolehkan setiap tindakan dan percakapan yang berlaku dinilai secara langsung berdasarkan keadaan sebenar ketika insiden itu berlaku,” katanya.

Beliau berkata, teknologi itu juga memberi manfaat dalam kes samun, ragut dan jenayah jalanan apabila rakaman parkir atau mod keselamatan berjaya merakam pergerakan suspek serta kenderaan yang digunakan.

Selain membantu pihak berkuasa mengesan pelaku jenayah, rakaman juga boleh digunakan sebagai alibi bagi membuktikan seseorang berada di lokasi lain ketika sesuatu kesalahan dilakukan berdasarkan rekod masa dan lokasi yang direkodkan.

Dalam kes kehilangan orang atau penculikan, katanya, video itu berupaya membantu pihak berkuasa menjejaki laluan kenderaan yang dipercayai terlibat selain memudahkan usaha menyusun semula kronologi kejadian.

Bagaimanapun, Partiben berkata, rakaman tidak boleh dianggap sebagai bukti penentu yang secara automatik menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak.

“Mahkamah akan meneliti semua keterangan yang dikemukakan termasuk laporan polis, keterangan saksi, penemuan forensik dan fakta keseluruhan kes sebelum membuat keputusan.

“Walaupun ia mempunyai nilai pembuktian yang tinggi, keputusan mahkamah tetap bergantung kepada penilaian terhadap keseluruhan bukti yang dikemukakan,” katanya.

Scroll to Top