am@hmetro.com.my
Ayer Keroh :Pasangan Suami isteri didakwa mendera anak perempuan mereka berusia sembilan tahun tiga bulan sehingga mengalami bengkak, lebam dan berbirat selain trauma, di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini.
Kedua-dua tertuduh masing-masing berusia 36 dan 35 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori didakwa melakukan penganiayaan fizikal terhadap anak perempuannya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Presint Selendang, Taman 1 Krubong, Melaka Tengah kira-kira jam 7 malam pada 19 Julai lalu.
Isterinya yang juga seorang suri rumah turut didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa di lokasi sama kira-kira jam 2 petang, 21 Julai lalu.
Difahamkan, kejadian berlaku selepas mangsa dikatakan menyebabkan adik lelakinya berusia enam tahun menangis selain tidak mengemas bilik tidur.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini dan Muhammad Qayyum Ramlan yang menawarkan jaminan RM20,000 terhadap setiap tertuduh berserta syarat tambahan.
Tertuduh lelaki yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan pendapatan sebagai pemandu lori tidak menentu sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sebulan selain menjadi penyara tunggal keluarga.
Isterinya turut memohon jaminan rendah atas alasan tidak bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suami bagi menyara keluarga termasuk dua anak mereka.
Katanya, anak-anaknya juga tidak bersekolah sepanjang tempoh tertuduh di dalam tahanan polis kerana sebelum ini segala urusan persekolahan dilakukan olehnya.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh lelaki diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin manakala isterinya dikenakan jaminan RM9,000.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya kedua-dua tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan terutama mangSa serta perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan.
Kes disebut semula pada 8 September depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.
© New Straits Times Press (M) Bhd




