East Rutherford, Amerika Syarikat: Jurulatih Perancis, Didier Deschamps melabel Kylian Mbappe sebagai pemain ‘luar biasa’ selepas kapten pasukan itu meledak dua gol dalam aksi pembukaan Piala Dunia, sekali gus muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman negaranya.
Deschamps berkata, bintang Real Madrid itu sentiasa menjadi sasaran kritikan segelintir pihak, namun kualitinya sebagai pemain bertaraf dunia tidak boleh dipertikaikan.
“Masih ada orang yang mengkritiknya, tetapi dia adalah pemain yang luar biasa. Bukan semuanya menjadi untuknya dalam perlawanan ini, namun dia mampu mengubah keputusan perlawanan hanya dalam satu detik,” katanya.
Mbappe membuka jaringan Perancis pada pertengahan babak kedua dalam aksi sukar menentang Senegal di Stadium MetLife sebelum menambah gol kedua bagi melengkapkan kemenangan 3-1.
Satu lagi gol Perancis dijaringkan Bradley Barcola manakala Ibrahim Mbaye menjaringkan gol sagu hati Senegal dalam aksi Kumpulan I itu.
Sebagai kapten, Mbappe turut dipuji kerana peranannya dalam pasukan walaupun sering dilabel sebagai pemain yang mementingkan diri sendiri.
“Dia banyak membantu pasukan di dalam dan luar padang walaupun ada yang menganggap dia seorang yang pentingkan diri.
“Saya sangat gembira untuknya. Dia tidak menjaringkan gol dalam perlawanan persahabatan sebelum kejohanan, tetapi memecahkan rekod di pentas Piala Dunia menjadikannya lebih bermakna,” kata Deschamps.
Dua jaringan itu membolehkan Mbappe mengatasi rekod Olivier Giroud sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis dengan 58 gol daripada 99 penampilan antarabangsa.
Perancis bagaimanapun tidak begitu meyakinkan pada separuh masa pertama dan bernasib baik kerana tidak ketinggalan sebelum bangkit mendominasi permainan selepas rehat menerusi kekuatan jentera serangan mereka.
Deschamps mengakui pasukannya berdepan kesukaran pada babak awal, namun perubahan posisi Michael Olise ke bahagian tengah membantu mengubah corak permainan Les Bleus.
“Kami berdepan beberapa masalah dan kadangkala mensia-siakan peluang. Dengan lebih ketepatan, kami boleh mencipta lebih banyak peluang pada separuh masa pertama.
“Separuh masa kedua jauh lebih baik selepas Michael Olise bermain di tengah. Cara dia mengawal bola dan membuat hantaran membantu kami mencari penyerang. Lebih banyak dia menyentuh bola, lebih baik permainan kami,” katanya.
Deschamps turut melahirkan kepuasan selepas Perancis memulakan kempen dengan kemenangan dan percaya tiga mata itu cukup penting dalam saingan kumpulan yang mencabar.
Juara dunia 1998 dan 2018 itu akan meneruskan kempen Kumpulan I menentang Iraq di Philadelphia pada Selasa ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




