am@hmetro.com.my
Tampin: Polis menjejaki seorang gadis berusia 18 tahun yang tidak pulang ke rumahnya di daerah ini sejak lebih seminggu lalu selepas keluar bekerja di sini, pagi 22 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, mangsa dapat dihubungi pada 29 Oktober lalu dan memaklumkan berada di Pulau Pinang, namun tidak diketahui lokasi sebenar.
“Kira-kira 2 petang 22 Oktober lalu, bapanya yang berusia 40-an menghantar gadis itu yang dikenali sebagai Puteri Ellyana Natasha Abdullah ke tempat kerja iaitu di sebuah restoran makanan segera Pekan Tampin, di sini.
“Pada 11 malam hari sama, ketika bapanya ingin menjemput gadis berkenaan pulang dari tempat kerja, dia mendapati anaknya tiada di situ,” katanya, hari ini.
Amiruddien berkata, lelaki berkenaan kemudiannya pulang ke rumah dan mendapati gadis itu masih juga belum pulang lalu mengesyaki anaknya keluar dari rumah mengikut kenalannya ke Rawang, Selangor.
“Bapanya membuat laporan polis mengenai kehilangan orang hilang (OH) di Balai Polis Rawang pada keesokan harinya.
“Bagaimanapun, pada 10.17 malam hari yang sama, bapanya memaklumkan OH dapat dihubungi dan memberitahu dia kini berada di Pulau Pinang dan akan kembali setelah mendapat ketenangan diri.
“Namun, pada 29 Oktober, bapanya memaklumkan kepada pegawai penyiasat kes yang mana OH masih belum pulang ke rumah dan tidak dapat dihubungi,” katanya.
Justeru, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan OH diminta untuk menyalurkannya ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tampin di talian 064431999.
“Orang awam juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Hasmadi Haron di talian 064411222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. Siasatan masih dijalankan sebagai kes OH,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd