Korea Utara mungkin minta teknologi nuklear Rusia, balasan bantuan tentera

Korea Utara mungkin minta teknologi nuklear Rusia, balasan bantuan tentera

KUALA LUMPUR – Kemungkinan besar Korea Utara akan meminta Moscow senjata nuklear sebagai balasan pihaknya menghantar bantuan ketenteraan kepada Rusia untuk perang bersama Ukraine.

Kenyataan itu dibuat Menteri Pertahanan Korea Selatan, Kim Yong Hyun di Pentagon, semalam.

“Ada kemungkinan Korea Utara meminta pemindahan teknologi Rusia yang berkaitan dengan senjata nuklear taktikal, pengembangan peluru berpandu balistik antara benua Korea Utara, satelit pengintipan, dan kapal selam nuklear,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi penterjemah bersama Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin.

Yong Hyun juga percaya bantuan ketenteraan Korea Utara itu tidak akan mencetuskan peperangan di Semenanjung Korea, namun akan menyebabkan peningkatan ancaman keselamatan di situ.

Korea Selatan telah lama menyuarakan kebimbangan mengenai penghantaran tentera Korea Utara ke Rusia.

Sumber yang dipercayai juga berkata Korea Selatan telah meningkatkan perkongsian maklumat risikan dengan NATO secara mendadak dalam beberapa minggu kebelakangan ini akibat kebimbangan terhadap pergerakan Korea Utara.

Terdahulu, Amerika Syarikat telah mengesahkan ribuan tentera Korea Utara telah dihantar ke Rusia buat kali pertamanya untuk latihan ketenteraan.

Pada mulanya, AS menyatakan hanya 3,000 tentera yang dihantar, tetapi minggu ini jumlah itu telah meningkat kepada 10,000 manakala Korea Selatan pula menyatakan bahawa 13,000 telah dikerahkan ke sana.

CNN juga ada melaporkan sejumlah kecil tentera Korea Utara kini sudah berada di Ukrain dan pegawai semakin bimbang bahawa pasukan tersebut akan memasuki medan pertempuran bersama tentera Rusia. – CNN

Scroll to Top