zatuliffah@hmetro.com.my
Kota Bharu: “Dia sempurna di mata saya,” kata Siti Norfarhani Yaakub, 33, yang memilih Muhd Idzwan Syafiq Mohd Johari, 34, sebagai teman hidup walaupun lelaki itu diuji dengan pelbagai masalah kesihatan hingga terpaksa bergantung kepada kerusi roda.
Bukan itu sahaja, Siti Norfarhani yang mesra disapa Farah juga sanggup berhenti kerja sebagai pembantu doktor bagi memberi tumpuan kepada Muhd Idzwan Syafiq atau Iwan yang menghidap lima penyakit.
Iwan yang juga anak bongsu daripada empat beradik dari Kok Lanas sebelum ini menjalani kehidupan seperti biasa ketika menuntut dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Politeknik Kota Bharu, Kok Lanas.
Namun, kehidupannya berubah pada 2018 selepas dia jatuh terlentang dari tangga sehingga menyebabkan tulang belakangnya patah.
Selain kecederaan tulang belakang, Iwan turut berdepan masalah kesihatan lain termasuk gout kronik, kerosakan paru-paru, kecederaan ligamen krusiat posterior (PCL) dan penyakit buah pinggang kronik (CKD) tahap lima.
Menurut Farah, sikap suaminya melayan ibunya sendiri (ummi) , Che Piah Che Seman, 70, membuatkan dia tertarik memilih Iwan sebagai pasangan hidup walaupun lelaki itu tidak sempurna seperti orang lain.
“Saya kenal suami melalui rakan apabila melawatnya ketika dia keluar hospital pada 2022 sebelum hubungan kami menjadi rapat. Pada awalnya, kami hanya bersahabat namun ada sesuatu pada dirinya yang membuatkan saya tertarik iaitu cara dia melayan ummi.
“Namun, ketika itu saya tidak berani meluahkan perasaan kerana takut ia akan menjejaskan persahabatan kami dan ummilah yang menjadi orang tengah sebelum kami disatukan pada 19 September 2025,” katanya sambil menambah mereka kini menjual nasi ayam bagi mengumpul dana untuk menampung kos rawatan Iwan yang dianggarkan menelan kos lebih RM30,000.
Sementara itu, Iwan berkata, dia bersyukur kerana dikurniakan isteri seperti Farah yang memilihnya walaupun keadaannya serba kekurangan.
“Isteri hadir dalam hidup saya ketika saya hilang segalanya selepas diuji pelbagai penyakit dan dia beri saya semangat untuk saya melawan semua penyakit ini.
“Sejujurnya, tidak pernah terlintas di fikiran untuk berkahwin menyebabkan saya hanya memendam perasaan kerana bimbang rasa cinta itu akan merosakkan persahabatan kami, namun, akhirnya dengan takdir Allah SWT, kami disatukan dengan bantuan ummi yang menjadi orang tengah,” katanya.
Ketika ditanya mengenai perkongsian video di Tik Toknya, Iwan berkata, rakaman itu dibuat sebagai kenangan buat mereka.
“Sejak diuji dengan sakit, saya sudah menjalani tiga pembedahan bagi merawat kecederaan tulang belakang dengan pembedahan pertama pada 2019 dengan pembedahan terbaru dijangka dalam masa terdekat untuk memasang besi pada tulang belakang.
“Dengan penyakit yang saya ada, saya tak tahu berapa lama saya boleh bertahan. Malah, doktor juga ada bagi tahu pembedahan yang akan datang ini berisiko, jadi sebolehnya saya mahu mencipta lebih banyak kenangan bersama Farah selagi masih diberi peluang.
“Saya juga nak orang tahu bahawa dalam alam perkahwinan, ia bukan hanya bergantung kepada kesempurnaan semata-mata tetapi bagaimana kekurangan itu saling melengkapi antara satu sama lain,” katanya.
Menerusi video yang dikongsikan Iwan di TikTok, kesungguhan Farah menguruskan suaminya itu mendapat pujian daripada warga maya yang mendoakan kebahagiaan pasangan itu selain mengagumi pengorbanan Farah yang sanggup bersusah payah menemani Iwan mengharungi ujian kehidupan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




