DAP pilih pegawai penyelidik calon DUN Seremban Jaya

DAP pilih pegawai penyelidik calon DUN Seremban Jaya

am@hmetro.com.my

Seremban: Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan Pegawai Penyelidik kepada EXCO Kerajaan Negeri Sembilan, S Mugunthan, sebagai calon gabungan itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seremban Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, Mugunthan, 40, akan menggantikan penyandang, Datuk P Gunasekaran yang mewakili kawasan itu sejak tahun 2008.

Katanya, pihaknya yakin Mugunthan mampu membantu memastikan DAP terus mempertahankan kerusi terbabit.

“DUN ini kita menangi sejak tahun 2008, ketika itu namanya DUN Senawang. Selama empat penggal berturut-turut kita terus mendapat sokongan rakyat di DUN ini.

“Saya yakin dengan kemampuan serta keupayaan Mugunthan untuk menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat kawasan ini.

“Ia sekali gus meneruskan khidmat bakti terbaik seperti mana dilakukan Gunasekaran sebelum ini.

“Saya berharap calon yang kita ketengahkan ini mendapat sokongan daripada pengundi Seremban Jaya dan membantu PH untuk terus membentuk kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bilik Gerakan PH bagi DUN Seremban Jaya dan pengumuman calon DUN berkenaan, di sini, hari ini.

Loke yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan turut merakamkan penghargaan kepada Gunasekaran atas khidmat cemerlang yang diberikan kepada penduduk dan pengundi di DUN berkenaan sejak memenangi kerusi itu buat kali pertama.

“Saya boleh katakan Gunasekaran ialah ‘orang parti’ kerana pada PRN kali ini beliau berbesar hati memberi laluan kepada muka baharu selepas menang empat kali bertanding dalam tujuh pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, Mugunthan mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan DAP atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk mewakili PH di DUN Seremban Jaya.

“Saya menerima amanah ini dengan penuh rasa rendah diri. Saya akan bekerja keras memastikan kerusi DUN Seremban Jaya ini kekal milik PH,” katanya yang mula menyertai DAP pada tahun 2012.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top