KULAI: Dua beranak maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta Proton X70 yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di Jalan Lestari Hijau 1, Taman Lestari Hijau, di sini malam tadi.
Dalam kejadian tersebut, mangsa yang dikenali sebagai Liew Ping berusia 36 tahun bersama anak lelakinya berusia 10 tahun maut di tempat kejadian.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd. Fauzi Che Idris berkata, pihaknya menerima laporan berhubung nahas jalan raya berkenaan pada pukul 7.36 malam.
Katanya, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai dan BBP Pekan Nenas bersama tiga jentera dikejarkan ke tempat kejadian sejurus panggilan kecemasan diterima.
“Kemalangan berkenaan melibatkan Proton X70 dinaiki lima mangsa dengan sebuah treler, pelanggaran itu menyebabkan mangsa terperangkap dalam kereta berkenaan.
“Pasukan kemudian segera membawa keluar mangsa dan dua daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan yang hadir,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambahnya, tiga mangsa lain cedera parah dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, manakala pemandu treler terbabit selamat.
“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan pada pukul 10.15 malam,” katanya.-UTUSAN




