‘Ego Ronaldo makan diri’ – Dugarry

‘Ego Ronaldo makan diri’ – Dugarry

BEKAS pemain antarabangsa Perancis, Christophe Dugarry mengkritik Cristiano Ronaldo dengan mendakwa ego bintang legenda itu kini semakin merosakkan reputasi serta legasinya sendiri.

Pemenang Piala Dunia 1998 itu meluahkan rasa kecewa dengan drama berpanjangan yang menyelubungi penyerang kelab Al-Nassr tersebut bersama skuad kebangsaan Portugal.

Situasi mengenai masa depan Ronaldo di pentas antarabangsa kini dilaporkan semakin meruncing selepas pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu bertindak meninggalkan kem latihan Portugal susulan perselisihan faham dengan ketua jurulatih.

Bercakap menerusi program radio Perancis, Rothen s’enflamme di RMC Sport, Dugarry secara terbuka meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap sikap yang dipamerkan kapten Portugal itu.

“Sungguh menyedihkan apabila melihat seseorang menunjukkan rasa kurang hormat sedemikian kepada rakan senegara dan pasukannya sendiri.

“Ia amat mendukacitakan kerana ini bukan imej yang sering dibawanya dahulu. Dia pernah menampilkan imej sebagai seorang pemain berpasukan yang hebat.

“Namun kini, saya melihat dia sudah berubah. Egonya seolah-olah sedang memakan dirinya sendiri sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Sepatutnya dia boleh melangkah keluar menerusi pintu utama (secara terhormat), tetapi kini segalanya sudah musnah,” katanya.

Tambah bekas penyerang AC Milan dan Barcelona itu lagi, pemain berprofil tinggi seperti Ronaldo sepatutnya mempunyai kesedaran untuk menerima hakikat bahawa tahap prestasinya kini sudah mula merosot.

Dugarry turut menegaskan bahawa prestasi Portugal dilihat lebih kemas dan berkesan tanpa kelibat kapten mereka itu dalam beberapa kejohanan antarabangsa sebelum ini.

“Bakat dan kehebatan pemain ternama seperti Ronaldo sepatutnya merangkumi kemampuan untuk menilai bila prestasinya tidak lagi berada di tahap terbaik. Perkara ini sudah terbukti dalam tiga kejohanan antarabangsa yang lalu, skuad kebangsaan mereka sebenarnya tampil lebih mantap tanpanya.

“Dia sepatutnya berada dalam fasa menyerahkan legasi atau ‘baton’ kepada generasi baharu. Hanya kerana jurulatih memberitahu akan menurunkannya pada setengah jam terakhir dan kemudian menukar rancangan… mesej apa yang sebenarnya cuba disampaikan kepada generasi muda Portugal?” katanya.

Scroll to Top