Elizad pilih sederhana bersama suami

Elizad pilih sederhana bersama suami

norhayati_nordin@hmetro.com.my

SEDEKAD berumah tangga dengan Shamsul Baharin Abdul Rahman, pelakon Mohd Sharifuddin atau mesra disapa Elizad, 41, amat bersyukur menjalani kehidupan bahagia walaupun belum dikurniakan cahaya mata.

Apatah lagi, dia dan suami sibuk mengisi ruang waktu kerana sering melakukan ‘ride’ hingga ke luar negara berikutan mereka mempunyai minat sama iaitu menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Menurut Elizad, seperti diketahui ramai, dia bersama suami lebih memilih kehidupan tenang seperti menunggang motosikal jika pergi bercuti selain tiada jadual atau perancangan tertentu.

“Umpamanya, kita berhenti satu tempat makan walaupun ia adalah kawasan rehat dan rawat (R&R), tapi saya dan suami okey sahaja. Begitu juga, kami selalu ke luar negara akan berhenti makan merata-rata,” katanya.

Menurutnya, mereka juga tidak merancang untuk makan di restoran mewah atau menikmati hidangan mewah kerana makan hanya untuk mengisi perut yang lapar.

Katanya, padanya mereka tidak mempunyai masalah jika makan di mana-mana sahaja ketika keluar berkonvoi.

“Begitu juga tempat penginapan. Kami tidak memilih bermalam di hotel hingga ada orang cakap suami saya tidak mampu nak sediakan penginapan di hotel mewah. Sebenarnya itu bukan sebabnya.

“Saya dan suami apabila keluar menunggang motosikal, kami biasanya menginap di hotel murah sahaja kerana tujuannya nak tidur, itu sahaja. Bayangkan kalau kami sampai hotel mewah jam 9 malam atau 10 malam, tidakkah membazir?

“Bayar hotel mahal-mahal dan keesokkannya selepas Subuh, kami dah nak menunggang semula. Jadi, kalau menginap di hotel murah untuk tidur sahaja, tidakkah lebih berbaloi dan menjimatkan wang,” katanya.

Menurut Elizad, daripada membayar RM500 untuk tidur semalam di hotel mewah, dia berpandangan lebih baik jika wang itu digunakan untuk menyiapkan aksesori motosikal supaya nampak lebih cantik dan menawan.

“Suami saya bukan tak ada wang, tapi kami nak pergi berjalan. Bila ada orang tegur, sebenarnya jujur ada hikmah yang saya nampak rupanya Allah nak bagi dari sudut positif.

“Ramai pengikut saya hantar mesej (DM) di Instagram (IG) bersetuju. Kata mereka, bila suami awak sediakan tempat penginapan berharga RM80 hingga RM150, ia membuka mata kami suami isteri.

“Tapi, bila nampak Elizad menginap bilik berharga RM80 ke RM150, isteri saya pun okey. Alhamdulillah, saya pun rasa seronok bila mendengarkan kisah perubahan dikongsikan itu,” katanya.

Menurutnya, apabila berkahwin, dia pernah berjanji kepada Allah untuk tidak menyusahkan suaminya.

“Saya berdoa kepada Allah, kalau aku jumpa lelaki masuk meminang, aku akan kahwin dan tak nak menyusahkan dia. Allah jumpakan dia (suami) yang setenang-tenang manusia.

“Selepas itu, saya terfikir Allah bagi (suami) ini pun sudah cukup bagus, tak akan aku nak meminta-minta. Kalau saya, jika dia (suami) nak sediakan apa yang lebih baik dan termampu, terpulang.

“Tapi, untuk saya meminta-minta nak pakai beg tangan mahal ke, tiba-tiba nak pakai itu nak pakai ini, rasanya itu bukan saya,” katanya.

Katanya, kehidupan hariannya sudah terbiasa memakai ‘street wear’, tetapi tiba-tiba berpakaian untuk menunjuk kepada orang lain maka ia dianggap tidak menjadi diri sendiri.

“Orang kata (menunjukkan) kemewahan tak semestinya bahagia, tapi ada orang itu pilihan, cuma untuk saya tidak. Pilihan saya adalah nak hidup tenang sahaja. Suami tak buat perangai, saya sudah ‘happy’,” katanya.

Menurut pelakon serba boleh ini, apa pun Allah SWT sudah memberinya jalan yang cantik dan terlalu indah.

“Sebab dapat suami pun bukan reti marah, diam sahaja kerana dia (suami) pendiam dan tak banyak cakap sampai kami rasa sangat tenang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top