Enam ikhtiar Kerajaan Madani bukti suara rakyat didengar – AMK

SHAH ALAM – Enam ikhtiar yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa mesej penting bahawa Kerajaan Madani mendengar, menilai dan bertindak terhadap keperluan rakyat.

Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Omar Mokhtar A Manap berkata, pihaknya melihat langkah itu sebagai sebuah pentadbiran yang responsif terhadap realiti kehidupan rakyat.

Menurutnya, selepas negara melalui proses pemulihan dan pengukuhan fiskal, kecekapan pentadbiran serta disiplin pengurusan ekonomi perlu terus diterjemahkan kepada manfaat yang boleh dirasai secara langsung oleh rakyat.

Katanya, sebahagian ikhtiar itu antara aspirasi dan tuntutan yang dibawa oleh AMK dalam Kongres Nasional PKR baru-baru ini.

“Ini membuktikan suara anak muda dan akar umbi mempunyai ruang dalam proses pembentukan dasar kerajaan.

“Kepimpinan Perdana Menteri memperlihatkan reformasi ekonomi dan keprihatinan sosial bukan dua agenda yang terpisah.

“Ekonomi mesti diperkukuh supaya hasilnya dapat dikembalikan kepada rakyat melalui sekolah yang lebih baik, rawatan cekap, peluang baharu untuk anak muda, bantuan kepada peniaga kecil serta perlindungan tekanan kos kehidupan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan enam ikhtiar bagi meringankan beban rakyat.

Antara ikhtiar berkenaan ialah pengembalian kuota asas Budi RON95 Madani (BUDI95) bagi warganegara Malaysia kepada 300 liter sebulan, manakala subsidi Budi Diesel ditetapkan RM400 sebulan.

Selain itu, tambahan RM500 juta untuk penyelenggaraan dan pembaikan prasarana sekolah bagi 2027 membabitkan peruntukan RM1.5 bilion.

Kerajaan turut menyediakan program langganan kecerdasan buatan (AI) percuma selama tiga bulan dengan sasaran awal 100,000 belia berumur 18 hingga 30 tahun.

Di samping itu, peruntukan RM1 bilion bagi mempercepat pendigitalan sektor kesihatan awam melibatkan 150 hospital dan 2,000 klinik kesihatan.

Kerajaan juga menaikkan ambang pengecualian e-Invois dari RM1 juta kepada RM3 juta selain menyediakan RM200 juta Geran Sejahtera Madani untuk kelengkapan peniaga kecil termasuk ibu yang meniaga dari rumah, penjaja serta peniaga pasar malam.

Mengulas lanjut, Omar Mokhtar berkata, AMK akan terus memainkan peranan sebagai jambatan antara suara anak muda dengan kerajaan.

Jelasnya, jambatan dalam konteks menyampaikan keresahan rakyat secara berani, mengemukakan cadangan konstruktif dan memastikan setiap dasar atau ikhtiar sampai serta mudah difahami.

“Sempena Hari Kebangsaan 2026, enam ikhtiar tersebut memberikan satu cerita yang wajar dikongsikan.

“Apabila kerajaan mendengar, rakyat mendapat manfaat. Apabila ekonomi diurus dengan baik, hasilnya mesti kembali kepada rakyat,” ujarnya lagi.

Scroll to Top