Enggan jaga cucu, warga emas patah empat tulang rusuk dipukul menantu

Enggan jaga cucu, warga emas patah empat tulang rusuk dipukul menantu

JIAXING – Seorang wanita di wilayah Zhejiang, timur China ditahan selepas didakwa memukul ibu mentuanya sehingga patah empat tulang rusuk kerana berang wanita warga emas itu lebih mengutamakan teman lelaki berbanding menjaga cucu.

Kejadian yang berlaku di Jiaxing itu dilaporkan Zhejiang Television dan mencetuskan perdebatan hangat dalam media sosial mengenai tanggungjawab menjaga cucu serta peranan anak terhadap ibu bapa.

Menurut laporan, pasangan terbabit mempunyai dua orang anak dan mereka bekerja di bandar berbeza sebelum menyerahkan tanggungjawab menjaga kedua-dua kanak-kanak itu kepada ibu mentua yang dikenali sebagai Shen.

Pertikaian tercetus apabila anak pasangan itu menghubungi ibunya menerusi sistem kamera pengawasan di rumah dan memaklumkan dia tidak sihat, namun mendakwa neneknya enggan mengambil suhu badannya.

Wanita itu kemudian menaiki kereta api berkelajuan tinggi dan tiba di rumah ibu mentuanya kira-kira sejam kemudian.

Shen menjelaskan cucunya sukar dikawal selain memaklumkan dia sendiri mengalami sakit gigi.

Menantunya kemudian menawarkan untuk membawanya mendapatkan rawatan di hospital, namun Shen menolak kerana mahu berjumpa teman lelakinya.

Shen turut meluahkan bahawa dia ‘lebih rela mati daripada menjaga cucu-cucu’, yang dipercayai memburukkan lagi keadaan.

Pertengkaran antara mereka akhirnya bertukar menjadi pergaduhan apabila menantu wanita itu didakwa menyerangnya sehingga menyebabkan Shen mengalami kecederaan pada muka dan patah empat tulang rusuk.

Laporan turut menyatakan kejadian itu bukan kali pertama Shen diserang oleh menantunya kerana didakwa gagal menjaga cucu dengan baik.

Bagaimanapun anak lelaki Shen, yang juga suami wanita tersebut iaitu Jiao, mempertahankan tindakan isterinya dengan melabelkan ibunya sebagai ‘tidak bermoral’ serta mendakwa wanita warga emas itu layak dipukul.

Menurutnya, memandangkan dia berdepan masalah kewangan, Shen sepatutnya membantu menjaga anak-anak atau memberikan elaun bulanan bagi meringankan beban keluarga.

 

 

 

Scroll to Top