Haji & umrah: Penyucian niat dan hati

Haji & umrah: Penyucian niat dan hati

DARI segi bahasa, haji bermaksud menuju atau mengunjungi sesuatu tempat dan dari sudut istilahnya, ia membawa erti mengunjungi Baitullah (Kaabah) pada masa-masa tertentu iaitu pada bulan Zulhijjah serta melaksanakan perkara-perkara yang wajib bagi haji.

“Haji merupakan salah satu daripada Rukun Islam dan menjadi kewajipan kepada seluruh umat Islam lelaki mahupun wanita bagi yang berkemampuan untuk melaksanakannya.

“Pelaksanaan itu dikira wajib hanya sekali seumur hidup dan jika dilakukan lebih daripada itu, maka ia dikira sunat,” ujar khatib pada permulaan khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) baru-baru ini.

Menurut JHEAIK, umrah pula bermaksud ziarah dan kebanyakan ulama bersepakat ia membawa maksud tawaf di Baitullah dan sai di antara Safa dan Marwah dengan berihram.

Ujarnya, niat merupakan asas setiap amal dan ibadah haji serta umrah yang diniatkan kerana ALLAH SWT akan menjadi penyucian hati.

“Akan tetapi jika niat bercampur dengan riyak, menunjuk-nunjuk atau sekadar memperagakan status sosial, maka ibadah itu kehilangan roh dan keberkatan.

“Oleh itu, niat hendaklah sentiasa dijaga demi mencapai maksud ibadah yang hakiki,” jelasnya.

Usaha keras untuk ke Tanah Suci

Dalam usaha menjadi tetamu di tanah suci katanya, ada dalam kalangan umat Islam yang sepanjang hidupnya menabung sedikit demi sedikit, mengikat perut, tidak pernah bermewah-mewah dan tidak pernah melancong.

ADA dalam kalangan umat Islam sanggup mengikat perut dan berjimat cermat semata-mata untuk menabung demi menunaikan ibadah haji. Foto Canva

ADA dalam kalangan umat Islam sanggup mengikat perut dan berjimat cermat semata-mata untuk menabung demi menunaikan ibadah haji. Foto Canva

“Semua kerana satu niat dan impain agar dapat melihat Baitullah. Ketahuilah bukan semua orang terpilih menjadi tetamu ALLAH. Namun sesiapa yang dipilih ALLAH akan tetap menjejakkan kakinya ke Tanah Suci walau apa pun yang menimpa.

“Masih ingatkah kita dengan satu kisah, seorang jemaah lelaki dari Libya bernama Amer Al-Mahdi Mansour Al-Gaddafi hampir terlepas peluang menunaikan haji kerana ditahan pihak berkuasa dan pesawat berlepas tanpa membawanya.

“Namun dengan izin ALLAH, pesawat itu berpatah balik dua kali akibat masalah teknikal. Akhirnya beliau dibawa masuk dan berjaya menunaikan haji. Subhanallah, kisah ini mengajar kita bahawa takdir ALLAH tidak dapat dihalang,” hurai khatib.

Tegasnya, jika ALLAH menetapkan seseorang akan menunaikan haji, maka segala rintangan akan diatasi.

ALLAH SWT berfirman: “Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan menunggang setiap unta yang kurus, mereka datang dari segenap penjuru yang jauh.” (Surah Al-Hajj: 27)

Jangan sia-siakan jemputan ALLAH

Bagaimanapun katanya, sekiranya dipilih untuk menunaikan ibadah haji, segala persiapan dan persediaan hendaklah dirancang serta dilaksanakan dengan rapi.

“Kita tidak mahu sebarang masalah timbul disebabkan kelekaan dan sikap sambil lewa. Setelah semuanya diusahakan, barulah kita bertakwa dan berserah kepada ALLAH SWT,” ujarnya.

JANGAN sia-siakan peluang ke Tanah Suci dengan menunaikan haji dan ibadah lain dengan bersungguh-sungguh kerana ALLAH SWT. Foto Canva

JANGAN sia-siakan peluang ke Tanah Suci dengan menunaikan haji dan ibadah lain dengan bersungguh-sungguh kerana ALLAH SWT. Foto Canva

Menurut JHEAIK, bagi musim haji pada tahun ini, Malaysia hanya diberikan sekitar 31,600 kuota jemaah sahaja oleh kerajaan Arab Saudi, tetapi permohonan rayuan mencecah sekitar 85,000 orang.

“Bayangkan lebih puluhan ribu menangis, berdoa merayu tetapi belum dipilih ALLAH. Ini bermakna bukan semua yang berhajat akan tertunai, tetapi hanya yang dijemput ALLAH sahaja akan sampai,” katanya.

Bagaimanapun jelasnya, dalam lautan manusia yang terpilih ke Tanah Suci itu, ada realiti yang menyedihkan.

“Ada yang berada di depan Kaabah tetapi hatinya sibuk dengan dunia. Ada yang berada di Arafah tetapi fikirannya masih dengan perniagaan. Ada yang tawaf tetapi matanya lebih melihat telefon daripada melihat Kaabah. Alangkah ruginya keadaan demikian.

“Oleh itu rebutlah peluang keemasan ini sekiranya kita dijemput untuk menjadi tetamu ALLAH. Jangan mensia-siakan panggilan agung ini, sebaliknya besarkan dan muliakanlah ia sebagaimana firman-NYAdalam ayat ke-32 surah Al-Haj,” katanya.

“Demikianlah (perintah ALLAH). Dan barang siapa mengagungkan syiar-syiar ALLAH, maka sesungguhnya itu timbul daripada ketakwaan hati.”

Beberapa intipati penting dalam ibadah haji dan umrah, antaranya:

1 – Menghidupkan zikrullah dan mengikhlaskan ibadah hanya kepada-NYA

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya dijadikan tawaf di Kaabah, sai antara Safa dan marwah serta melontar jamrah adalah untuk menegakkan zikrullah.” (Hadis Riwayat Ahmad)

BERDOALAH bersungguh-sungguh agar kita dijemput ALLAH SWT ke Tanah Suci. Foto Canva

BERDOALAH bersungguh-sungguh agar kita dijemput ALLAH SWT ke Tanah Suci. Foto Canva

2 – Membersihkan diri daripada hawa nafsu, syahwat dan godaan syaitan

Inilah yang dilambangkan oleh ihram dan meninggalkan pakaian berjahit sebagai latihan meninggalkan kebiasaan demi mendidik hati agar menolak sifat mementingkan diri dan menghiasi diri dengan sikap berkorban.

3 – Berakhlak dengan akhlak mulia

Berakhlak dengan akhlak mulia pada masa dan tempat yang mulia agar seorang Mukmin benar-benar mendidik hati berpegang dengan kemuliaan akhlak.

4 – Tanda agungkan syiar ALLAH

Ibadah haji dan umrah ini sebagai tanda kita mengagungkan syiar ALLAH. Maka dengan mengagungkan syiar ini menjadi sebab bertambahnya takwa dalam hati.

Scroll to Top