PETALING JAYA: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli akan memulakan perlumbaan dari petak kedua pada Grand Prix (GP) Motosikal Republik Czech di Brno, Republik Czech, esok.
Anak jati Terengganu yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu melakar masa sepusingan 2 minit 04.086 saat (s) yang menyaksikan dia melengkapkan sesi kelayakan 2 (Q2) di kedudukan kedua, hari ini.
Pelumba Sepanyol, David Almansa dari pasukan Liquid Moly Dynavolt Intact GP mengungguli saingan dengan catatan masa masa terpantas 2:04.069s, manakala, penunggang CFMoto Gaviota Aspar Team, Maximo Quiles di kedudukan ketiga (2:04.490s).
Kedudukan tersebut meletakkan Hakim Danish berada di landasan terbaik untuk mencatat podium keduanya, selepas berjaya berbuat demikian pada GP Itali di Litar Mugello, awal bulan ini.
Anak muda berusia 18 tahun itu kini menghuni kedudukan ke-10 dalam senarai keseluruhan pelumba Moto3 selepas mengumpul 48 mata.
Hakim Danish melahirkan rasa syukurnya selepas berjaya menamatkan sesi kelayakan di kedudukan kedua.
“Saya sekali lagi akan memulakan perlumbaan di petak kedua. Saya menjangkakan perlumbaan, esok akan berlangsung sengit.
“Dua pelumba iaitu Quiles dan Almansa sangat laju, mereka memiliki kelajuan yang lebih baik berbanding saya. Saya akan cuba bersaing dengan mereka,” katanya dalam satu temu bual selepas sesi Q2 berakhir di Litar Brno.
Mengulas mengenai sesi Q2, Hakim Danish berkata, dalam kelayakan tadi, persaingan sangat sengit dan mencabar.
Jelasnya, catatan masa sepusingan yang dilakukan dua pesaing terdekatnya, Quiles dan Almansa agak laju.
“Saya tidak sesekali berputus asa dan berusaha memperbaiki catatan masa saya dan saya berjaya menamatkan saingan di kedudukan kedua,” katanya. – UTUSAN




