Foto di balai polis yang dimuat naik menerusi Instagram Story oleh ibu kepada pelakon Anna Jobling, Ariz Arop, mencetuskan pelbagai tanda tanya.
Menerusi perkongsian tersebut, Ariz yang menggunakan nama @mamajobling seakan memberi gambaran hubungan antara dirinya dan Anna berada dalam keadaan tegang, malah mendakwa anaknya itu sanggup mengenakan perintah injunksi terhadapnya.
“Lelah seorang insan yang bernama ibu. Panggillah seramai mana peguam yang awak (Anna) panggil, bagilah banyak mana injunksi yang awak nak bagi.
“Letaklah banyak mana gari awak nak letak, saya tak gentar. Saya sudah lalui berbagai onak duri, bergadai nyawa nak besarkan awak.
“Kalau ini balasan awak, tak mengapa. Kalau saya kena masuk penjara pun saya reda saja. Allah ada, Allah Maha Adil,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, Ariz turut memuat naik gambarnya sedang menangis ketika berada di balai polis.
Ariz juga berkongsi foto tangannya yang kelihatan kemerahan, dipercayai akibat mengetuk cermin pintu kereta selepas dikunci dari dalam.
“Tangan bengkak sebab tumbuk cermin kereta, saya jadi panik tiada pilihan. Allah ada, Allah tak tidur,” ujarnya.
Memetik laporan mStar, Ariz mengesahkan akaun Instagram @mamajobling yang memuat naik hantaran tersebut adalah miliknya.
Sumber: Instagram @mamajobling & mStar.




