Tokyo: Bola sepak Jepun kehilangan seorang legenda apabila penyerang paling prolifik negara itu, Kunishige Kamamoto meninggal dunia pada usia 81 tahun akibat radang paru-paru.
Kamamoto yang menjaringkan 75 gol dalam 76 penampilan bersama skuad kebangsaan, dikenang sebagai ‘penyerang tiada tandingan’ oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), Tsuneyasu Miyamoto.
Anak kelahiran Kyoto itu menjadi ikon pada Sukan Olimpik 1968 di Mexico apabila muncul penjaring terbanyak dengan tujuh gol, sekali gus membantu Jepun meraih pingat gangsa.
Berbekalkan stamina, kelincahan dan kekuatan fizikal, Kamamoto dipanggil menyertai skuad kebangsaan seawal usia 19 tahun.
Beliau menyertai kelab Yanmar Diesel (kini Cerezo Osaka) pada 1967 dan meledak 202 gol dalam 251 perlawanan sehingga bersara pada 1984.
Pada penghujung kariernya, beliau turut berkhidmat sebagai pengurus Yanmar sebelum terjun ke dunia politik pada 1995 sebagai senator Dewan Tinggi.
Kamamoto juga terbabit dalam usaha Jepun membida hak tuan rumah Piala Dunia 2002 yang akhirnya dianjurkan bersama Korea Selatan.
Ketua jurulatih Jepun ketika ini, Hajime Moriyasu berkata, Kamamoto memberi sinar harapan bahawa bola sepak Jepun mampu bersaing di pentas antarabangsa.
“Saya berharap akan lahir pemain yang mampu mengatasi rekod beliau,” katanya.
Legenda hidup, Kazuyoshi Miura mendedahkan, mendiang diiktiraf legenda Brazil, Pele sebagai ‘penyerang hebat’ ketika perlawanan persaraan Kamamoto, satu penghormatan yang kekal segar dalam ingatannya hingga kini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




