SHAH ALAM – Harga runcit diesel di Semenanjung mencatatkan penurunan sebanyak 30 sen kepada RM4.37 berbanding RM4.67 seliter bagi tempoh 18 hingga 24 Jun ini.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan memaklumkan, harga runcit petrol RON97, RON95 tanpa subsidi masing-masing kekal RM4.35 dan RM3.72 seliter.
Menurut kementerian itu, penurunan tersebut berikutan pergerakan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu.
“Kerajaan Madani memandang positif perkembangan terkini dalam konflik di Asia Barat, khususnya tanda-tanda ke arah penyelesaian yang berkekalan. Perkembangan ini telah menyumbang kepada penyederhanaan harga minyak mentah global berbanding paras tertinggi sebelum ini.
“Namun begitu, masih terdapat beberapa risiko jangka pendek yang boleh mengekang penurunan harga minyak mentah dan produk petroleum ke paras prakonflik.
“Ini termasuk ketidaktentuan berhubung pembukaan semula laluan perdagangan di Selat Hormuz, gangguan bekalan yang dijangka mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih sepenuhnya, serta risiko rundingan damai tidak mencapai penyelesaian muktamad,” kata kenyataan itu pada Rabu.
Mengulas lanjut, MoF berkata, dalam keadaan ini, tanggungan subsidi kerajaan berdasarkan harga pasaran semasa masih diunjurkan tinggi, iaitu sekitar RM3.5 bilion sebulan.
Daripada jumlah tersebut katanya, subsidi RON95 diunjurkan sekitar RM2 bilion sebulan, manakala subsidi diesel pula sekitar RM1.5 bilion sebulan.
“Kerajaan Madani akan terus memastikan kebajikan rakyat dan kelangsungan operasi sektor tertentu terpelihara melalui bantuan dan subsidi bersasar, di samping mengurus perbelanjaan fiskal secara berhemat dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu,” katanya.
Kenyataan itu menambah, meskipun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan Madani menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.
Ujarnya, perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.
Selain itu katanya, di bawah Budi Madani RON95 (BUDI95), kerajaan terus mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter bagi lebih 14 juta penerima yang layak.
Menurutnya, pada harga RON95 tanpa subsidi semasa RM3.72 seliter, penggunaan 200 liter akan menelan kos RM744.
Dalam pada itu, kementerian berkenaan menegaskan, bagi mengimbangi kos sara hidup rakyat dan keperluan perbelanjaan fiskal secara berhemat, kerajaan akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.



