'Hayat' aisberg gergasi A23a kini berakhir

'Hayat' aisberg gergasi A23a kini berakhir

KISAH salah satu aisberg atau bongkah ais tertua di dunia kini berakhir selepas perjalanan menakjubkan selama 40 tahun yang memukau saintis, lapor BBC.

Bongkah ais itu, dikenali sebagai A23a, pernah menjadi yang terbesar di bumi dengan keluasan lebih daripada dua kali saiz ‘Greater London’.

Pada kemuncak saiz asalnya, bongkah ais A23a mempunyai keluasan permukaan kira-kira 4,000 kilometer (km) persegi. Secara perbandingan, ia menyamai dua kali ganda keluasan Greater London.

Jika dibandingkan dengan jiran selatan kita, keluasan asal A23a ini adalah menyamai 5.5 kali jumlah keseluruhan keluasan Singapura.

Bukan sahaja memiliki keluasan luar biasa, bongkah ais raksasa ini turut mempunyai anggaran ketebalan asal kira-kira 400 meter (m), yang mana jauh lebih tinggi daripada kebanyakan bangunan pencakar langit di dunia.

Dengan dimensi yang sedemikian besar, anggaran berat asalnya dianggarkan mencecah 1 trilion tan metrik.

Namun, selepas perjalanan penuh liku, A23a kini semakin mencair, berpecah dan hancur secara dramatik sepanjang tahun lalu.

Menurut laporan BBC pada Mac lalu, bongkah ais itu kini hanyut jauh dari lautan berais Antartika. ‘Sisa’ A23a pula sedang ‘dimakan’ perairan lebih panas dan berada dalam fasa ‘nazak’ serta tidak dijangka bertahan lebih lama.

Saintis bagaimanapun meneliti proses kehancuran aisberg ini bagi mendapatkan petunjuk bagaimana bahagian lain Antartika mungkin bertindak balas terhadap perubahan iklim.

Pakar dari British Antarctic Survey di Cambridge, United Kingdom, Prof Mike Meredith berkata, perkara itu adalah satu perjalanan yang luar biasa namun kini aisberg itu berada di ‘penghujungnya’.

Sejarah A23a

Kisah ini kembali semula ke tahun 1986. Ketika itu, Pelantar Ais Filchner yang dikenali sebagai ais terapung besar mengunjur dari Antartika ke Laut Weddell. Salah satu bahagiannya kemudian terpisah dan ia menjadi apa yang saintis gelarkan sebagai aisberg A23a.

Disebabkan bahagian bawah bongkah ais ini terlalu dalam, ia tersangkut pada dasar laut Laut Weddell sejurus selepas terpisah dari Pelantar Ais Filchner-Ronne. Ia kekal di situ selama 30 tahun sehingga didapati bergerak semula pada 2020.

Menurut saintis, aisberg itu kini dianggap antara bongkah ais paling tua yang dikesan satelit.

Pada awal 2025, A23a masih dianggap bersaiz mega. Bagaimanapun, menjelang pertengahan 2025, ia mengecil kira-kira satu perempat daripada saiz asalnya, sekali gus kehilangan gelaran bongkah ais terbesar di dunia.

Pada Ogos dan September tahun lalu pula, A23a berpusing di atas arus air di kawasan North-west Georgia Rise sehingga mencetuskan pecahan besar termasuk A23g, A23h dan A23i.

Menurut pakar dari Institusi Oseanografi Woods Hole di Amerika Syarikat (AS), Dr Catherine Walker yang menyifatkan ia semakin ‘lembik’, pada Disember, air cair berwarna biru muncul di permukaan bongkah ini dan mencetuskan fenomena ‘hydrofracture’ apabila retakan dipenuhi air semakin membesar.

Status terkini

Selepas dihanyutkan ke kawasan perairan yang lebih panas di Lautan Atlantik Selatan (di utara Pulau South Georgia), bongkah ais ini mengalami keretakan yang sangat agresif. Menjelang akhir Mac 2026, daripada keluasan asalnya yang mencecah 4,000 kilometer persegi, ia hancur sepenuhnya menjadi serpihan-serpihan kecil yang akhirnya cair ke dalam laut.

Pada Mac 2026, Pusat Ais Kebangsaan AS (USNIC) menghentikan penjejakan terhadap A23a secara rasmi. Ini kerana saiznya mengecil jauh di bawah had minimum yang melayakkannya dipantau sebagai aisberg dengan nama khas.

Ia menandakan tamatnya ‘hayat’ A23a sebagai sebuah bongkah ais gergasi, sekali gus menandakan berakhirnya ‘pengembaraan’ epiknya selama 40 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top