Vozinha, Haaland tersenarai dalam skuad impian Piala Dunia

Vozinha, Haaland tersenarai dalam skuad impian Piala Dunia

New York: Penjaga gol Cape Verde, Vozinha dan penyerang Norway, Erling Haaland dipilih dalam kesebelasan pasukan impian Piala Dunia berdasarkan undian peminat selepas aksi cemerlang mereka membantu pasukan masing-masing mencipta kejutan pada kejohanan itu.

Vozinha memperoleh 39.6 peratus undian bagi posisi penjaga gol hasil beberapa aksi mantap bersama Cape Verde yang membuat penampilan sulung di Piala Dunia. Dia mengatasi penjaga gol Sepanyol, Unai Simon yang memenangi Anugerah Sarung Tangan Emas pilihan panel teknikal FIFA.

Penjaga gol berusia 40 tahun itu yang tidak mempunyai kelab selepas meninggalkan pasukan divisyen kedua Portugal, Chaves, sebelum kejohanan bermula, melakukan tujuh penyelamatan ketika Cape Verde mengikat juara dunia, Sepanyol, tanpa jaringan. Dia turut membantu membawa Argentina ke masa tambahan pada aksi pusingan 32 terbaik.

Haaland pula meraih 27.5 peratus undian bagi posisi penyerang selepas memimpin Norway mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah.

Penyerang Manchester City itu menjaringkan tujuh gol dalam lima penampilan, termasuk dua gol ketika Norway menewaskan juara dunia lima kali, Brazil, 2-1 pada pusingan 16 terbaik sebelum perjalanan mereka berakhir di tangan England.

Dua pemain itu melengkapkan barisan bersama beberapa bintang utama termasuk Kylian Mbappe, Lionel Messi dan Jude Bellingham.

Kesebelasan skuad impian Piala Dunia pilihan peminat:

Penjaga gol:

Vozinha (Cape Verde)

Pertahanan:

Pedro Porro (Sepanyol)

Lisandro Martinez (Argentina)

Dayot Upamecano (Perancis)

Marc Cucurella (Sepanyol)

Tengah:

Rodri (Sepanyol)

Michael Olise (Perancis)

Jude Bellingham (England)

Penyerang:

Lionel Messi (Argentina)

Erling Haaland (Norway)

Kylian Mbappe (Perancis)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top