Rafah, Wilayah Palestin: Sebuah meja beralas merah yang membentang sepanjang beberapa ratus meter melintasi timbunan runtuhan di selatan Gaza pada Sabtu, ketika keluarga berkumpul untuk berbuka puasa pada hari pertama bulan suci Ramadan.
Ketika matahari terbenam di sebuah kejiranan di Rafah, di mana pertempuran antara Israel dan pejuang Palestin telah meninggalkan hanya segelintir bangunan yang masih berdiri, ratusan penduduk Gaza dari pelbagai peringkat umur menikmati juadah Iftar menandakan tamatnya puasa hari itu.
“Orang ramai berasa sangat sedih, dan segala-galanya di sekitar kita terasa memilukan,” kata Malak Fadda, yang menganjurkan majlis berbuka puasa itu.
“Jadi, kami memutuskan untuk membawa kembali kegembiraan ke jalan ini, seperti sebelum perang,” katanya.
Ketika orang ramai duduk untuk makan, ketidaktentuan menyelubungi fasa seterusnya gencatan senjata di Gaza, yang fasa pertamanya hampir berakhir pada Sabtu selepas lebih 15 bulan pertempuran.
Fasa kedua sepatutnya membuka jalan ke arah pengakhiran perang yang lebih kekal, tetapi rundingan masih menemui jalan buntu.
Muzik berkumandang dari pembesar suara di kalangan orang ramai di Rafah, yang duduk di deretan kerusi plastik di bawah hiasan bendera Palestin dan lampu yang digantung di antara runtuhan konkrit.
Perang yang tercetus sejak 7 Oktober 2023 telah menyebabkan lebih 69 peratus bangunan di Gaza musnah atau rosak.
Serangan udara Israel dan pertempuran telah menyebabkan hampir seluruh penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan mencetuskan kebuluran yang meluas, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 19 Januari telah membolehkan lebih banyak bantuan masuk ke wilayah Palestin yang musnah itu, tetapi ratusan ribu penduduk masih tinggal di khemah, dengan ramai yang berlindung di celah runtuhan rumah mereka yang telah hancur.
“Pada hari pertama Ramadan, kami berharap dapat kembali ke rumah kami untuk berbuka puasa bersama keluarga dan berkumpul di rumah kami,” kata penduduk Rafah, Umm al-Baraa Habib kepada AFP.
“Tetapi ini adalah ketentuan Tuhan, dan kami tetap teguh,” tambahnya.
Di bandar Beit Lahia di utara Gaza, berpuluh-puluh orang duduk bersama dalam cahaya senja untuk berbuka puasa di tengah-tengah sisa bangunan yang separuh runtuh.
“Kami berada di tengah-tengah kehancuran dan runtuhan, dan kami tetap teguh walaupun dalam kesakitan dan luka kami,” kata Mohammed Abu Al-Jidyan.
“Kami makan Iftar di tanah kami, dan kami tidak akan meninggalkan tempat ini,” tambahnya.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah mencadangkan idea untuk AS mengambil alih Gaza dan memindahkan penduduk Palestin di sana – satu cadangan yang menerima kecaman global.
Sebelum Subuh di bandar Khan Yunis di selatan Gaza, lampu berwarna merah jambu, kuning, dan biru menerangi kawasan kejiranan yang hampir musnah akibat perang, di mana sekumpulan kecil orang berkumpul untuk bersahur sebelum berpuasa.
Sebuah mural bertulis “Ramadan menyatukan kita” dengan lukisan bulan sabit telah dilukis di salah satu dinding bangunan yang masih berdiri.
Sehari sebelumnya, anak muda telah menggantung tanglung Ramadan berwarna-warni, bendera, dan hiasan di antara runtuhan, manakala peniaga menjual belon dan mainan untuk kanak-kanak.
Namun, kegembiraan Ramadan tidak banyak membawa harapan kepada ramai pelarian perang di Gaza.
“Anak-anak saya kadang-kadang meminta pakaian dan makanan, tetapi saya tidak mampu memberikannya kerana saya telah kehilangan pekerjaan selama satu setengah tahun,” kata Omar al-Madhoun, penduduk kem Jabalia yang teruk terjejas di utara Gaza.
“Kami duduk di tengah kehancuran, tidak tahu bagaimana untuk meneruskan hidup. Kami juga bimbang perang akan kembali, membawa lebih banyak kemusnahan,” katanya kepada AFP pada Jumaat, sehari sebelum permulaan Ramadan diumumkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




