IOI Properties Group Berhad (IOIPG) memperkukuh kedudukan dalam pasaran hartanah komersial serantau apabila memuktamadkan keseluruhan pegangan CapitaLand Integrated Commercial Trust dalam Asia Square Tower 2, sebuah bangunan pejabat Gred A utama di Marina Bay, pada harga S$2.476 bilion.
Langkah tersebut merupakan antara pelaburan antarabangsa terbesar kumpulan setakat ini, sekali gus memperkukuh strategi IOIPG dalam membina portfolio aset komersial premium yang mampu menjana pendapatan berulang stabil di bandar global utama.
Perjanjian tersebut dimeterai menerusi perjanjian jual dan beli antara HSBC Institutional Trust Services (Singapore) Limited, selaku pemegang amanah CICT dan IOI Marina View Pte Ltd, anak syarikat milik penuh IOIPG
Menurut kumpulan itu, transaksi dimuktamadkan berdasarkan prinsip pembeli dan penjual yang bersedia, selepas mengambil kira penilaian bebas oleh Savills, dengan harga dipersetujui mencerminkan diskaun S$50 juta berbanding nilai pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Datuk Lee Yeow Seng berkata, pelaburan itu mencerminkan keyakinan berterusan terhadap kekuatan asas ekonomi Singapura sebagai hab kewangan dan perniagaan serantau.
Menurutnya, Singapura terus menarik syarikat multinasional, institusi global serta bakat bertaraf dunia, sekali gus memperkukuh daya tahan ekonomi jangka panjangnya.
“Pemerolehan terbaharu ini mencerminkan keyakinan berterusan IOIPG terhadap aset utama di Singapura yang menawarkan aliran pendapatan berulang yang stabil, disokong oleh asas pasaran yang kukuh.
“Secara khususnya, aset di kawasan Marina Bay berada pada kedudukan strategik untuk mendapat manfaat daripada permintaan yang berterusan, penawaran yang terhad serta transformasi bandar yang sedang berlangsung,” katanya dalam kenyataan.
Asia Square Tower 2 merupakan pembangunan mercu tanda yang menawarkan kira-kira 773,460 kaki persegi ruang pejabat premium Gred A, dengan pelan lantai yang cekap dan berskala besar serta spesifikasi bangunan bertaraf tinggi.
Bangunan tersebut juga mempunyai sambungan langsung ke IOI Central Boulevard Towers melalui jambatan pejalan kaki bertingkat, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan dan integrasi dalam portfolio aset pelaburan kumpulan di Singapura.
Pemerolehan berkenaan dijangka mengukuhkan lagi kehadiran IOIPG di kawasan Daerah Perniagaan Pusat (CBD), selain melengkapkan portfolio sedia ada kumpulan yang merangkumi IOI Central Boulevard Towers dan South Beach Tower.
Dengan penambahan aset tersebut, jumlah keluasan boleh sewa bersih portfolio pejabat IOIPG di Singapura kini mencecah kira-kira 2.57 juta kaki persegi, sekali gus memperkukuh asas pendapatan berulang kumpulan dalam jangka panjang.
Sehingga 31 Mac 2026, bangunan tersebut mencatat kadar penghunian purata sebanyak 95.8 peratus, didorong oleh permintaan kukuh daripada penyewa global serta penawaran ruang pejabat premium yang terhad di kawasan CBD.
Dalam masa sama, IOIPG menjangka akan memanfaatkan kepakaran pengurusan aset sedia ada bagi mengoptimumkan prestasi operasi, selain memacu nilai jangka panjang melalui sinergi antara aset-asetnya di Singapura.


