am@hmetro.com.my
KONSERT Aishah 40 Chapters Of Love bukan sahaja mengimbau nostalgia sejak era kemunculannya bersama kumpulan The Fan Club, sebaliknya menelusuri perjalanan seni penyanyi itu sepanjang empat dekad lalu.
Ia juga bukan hanya meraikan ulang tahun ke-40 perjalanan seninya, tetapi mengimbau setiap bab dalam kehidupannya sebagai wanita, penyanyi dan ibu yang melalui jatuh bangun dalam industri hiburan.
Malah, konsert anjuran Vox Nation Love di Mega Star Arena Kuala Lumpur, baru-baru ini berjaya menghimpunkan peminat tegar Datuk Aishah atau sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 61, yang disifatkannya lebih intim.
Secara peribadi, Aishah mengakui sepanjang empat dekad bergelar penyanyi, ada kalanya dia hampir mahu mengundurkan diri dari industri hiburan tanah air.
“Banyak kali saya rasa hampir putus asa dalam bidang nyanyian, tetapi sokongan daripada semua yang membuatkan saya terus bertahan.
“Siapa sangka pada usia 61 tahun, saya masih boleh menyanyikan lagu-lagu saya. Terima kasih kepada semua kerana impian saya untuk buat konsert jadi kenyataan,” katanya.
Pada masa sama, Aishah menyifatkan konsert empat dekad itu sebagai detik paling bermakna dalam hidupnya.
“Empat puluh tahun adalah satu perjalanan yang panjang, penuh suka, duka dan kenangan yang membentuk diri saya sebagai anak seni.
“Melihat ramai peminat yang masih bersama saya hingga hari ini benar-benar menyentuh hati. Setiap tepukan, setiap nyanyian dan setiap senyuman yang saya lihat malam ini akan saya simpan sebagai kenangan paling berharga,” katanya dengan disambut tepukan gemuruh dari penonton.
Sampaikan kira-kira 30 lagu termasuk medley
Sebaik tirai dibuka dengan montaj perjalanan kerjaya nyanyiannya, penonton dibawa mengimbau kembali zaman kegemilangan Aishah.
Paparan visual memperlihatkan detik penting dalam hidupnya termasuk ketika menjadi wajah iklan minuman berkarbonat, kemenangan di Anugerah Juara Lagu (AJL) serta pelbagai pencapaian yang mengangkat namanya sebagai antara penyanyi wanita terbaik negara.
Ia seolah-olah menjadi pembuka tirai yang sempurna sebelum penyanyi itu muncul di pentas dengan sorakan lebih 2,000 penonton yang sudah tidak sabar mengimbau nostalgia bersamanya.
Sepanjang konsert, Aishah juga menyedari majoriti penonton yang hadir terdiri daripada mereka yang membesar bersama lagu-lagunya.
“Saya tahu ramai mak-mak yang minat saya. Tapi, saya gembira sebab ada juga generasi muda yang datang bawa emak mereka,” katanya.
Sambil menyanyi, Aishah juga bercerita setiap lagu yang disampaikannya mempunyai kisah tersendiri, diselang-seli dengan celotehnya yang lucu dan bersahaja hingga membuatkan penonton tidak bosan.
Pada malam itu, Aishah membuka tirai persembahan menerusi rangkaian lagu medley Camar Yang Pulang, Tiada Duka, Never Gave Up On You dan Jari-Jariku Sakit Semua sebelum membawa penonton mengimbau era kegemilangannya menerusi Kau Sahabat, Kekasih & Teman, Kasih Kita dan Kau Yang Teristimewa.
Satu demi satu lagu malar segar dipersembahkan dalam konsert durasi dua jam setengah itu dan membuatkan penonton turut menyanyi bersama dengannya.
Lebih menarik, susunan muzik oleh Sharon Paul berjaya memberikan nafas baharu kepada setiap lagu tanpa menghilangkan identiti asal karya terbabit.
Aishah juga teruja apabila mengetahui beberapa rakan sekolah menengah dan rakan universitinya turut hadir memberikan sokongan pada konsert skala besarnya malam itu.
Antara momen paling mencuit hati apabila Aishah berkongsi bahawa dia terbaca kisah sepasang kekasih di media sosial yang memilih konsertnya sebagai lokasi ‘first date’ mereka.
Tanpa berlengah, Aishah mencari pasangan berkenaan sebelum mengusik mereka dari atas pentas.
Walaupun sudah empat dekad berada dalam industri, kemampuan vokal penyanyi berusia 61 tahun itu tidak dapat dinafikan kerana beliau masih mampu menyampaikan lagu bernada tinggi seperti One Moment In Time dengan penuh bertenaga.
Malah, lagu seperti Fatwa Pujangga, Di Mana Ku Cari Ganti, Ayah, Syurga Di Telapak Kaki Ibu dan Bayangan berjaya dipersembahkan dengan emosi mendalam sehingga membuatkan ramai penonton sebak.
Lagu lain yang disampaikannya adalah Wajah, Bahtera Merdeka, Melukut Di Tepi Gantang, Sensation, Call Me dan Janji Manismu.
Paduan suara dengan Ara Johari curi perhatian
Aishah turut mengundang penyanyi, Ara Johari untuk berduet menerusi lagu Kemaafan Dendam Yang Terindah yang pernah dirakam semula oleh penyanyi itu.
Kemunculan Ara sebagai penyanyi jemputan menerusi duet Kemaafan Dendam Yang Terindah turut memberikan warna berbeza sebelum Ara meneruskan persembahan solo menerusi lagunya Menjaga Jodoh Orang Lain.
Bagai dijangka, kemuncak konsert Aishah pada malam itu pastinya menerusi persembahan lagu ikoniknya, Janji Manismu.
Sebaik intro lagu dimainkan, seluruh dewan bergema dengan nyanyian penonton yang tidak mahu melepaskan peluang menyanyikan lagu terbabit bersama Aishah.
Aishah juga kembali semula ke pentas untuk menyampaikan dua lagu encore iaitu Pulanglah dan Setitis Cahaya Di Aidilfitri, sekali gus menutup tirai konsertnya pada malam itu.
Kesimpulannya, Konsert Aishah: 40 Chapters of Love bukan sekadar deretan lagu popular atau persembahan vokal yang mantap, sebaliknya perjalanan emosi yang memperlihatkan sisi sebenar penyanyi bertaraf legenda itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




