MARA sasar Go to Global raih RM1 bilion

MARA sasar Go to Global raih RM1 bilion

am@hmetro.com.my

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan nilai jualan RM1 bilion dalam tempoh lima tahun menerusi program Go to Global.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, program itu membabitkan 176 usahawan Bumiputera dalam usaha memperkukuh kehadiran produk tempatan di pasaran antarabangsa.

Menurutnya, sasaran itu selari dengan komitmen agensi berkenaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera berdaya saing.

“Program seperti himpunan usahawan di Johor ini memang seiring dengan agenda besar kami kerana komponen paling besar di Johor adalah pembangunan usahawan.

“Kami mahu usahawan Bumiputera Johor tidak ketinggalan dalam usaha kerajaan negeri dalam merencanakan Maju Johor 2026 hingga 2030 ini. Mereka mesti membabitkan diri dengan lebih aktif dan MARA bersedia untuk menjadi agensi yang akan memantau dan membimbing bukan sahaja sekadar membiayai mereka,” katanya selepas menyempurnakan program Himpunan Usahawan Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada), di sini, semalam.

Menurutnya, antara pendekatan paling berkesan membantu usahawan meningkatkan prestasi perniagaan ialah menerusi sesi padanan perniagaan yang diadakan dalam program berkenaan.

Katanya, sesi itu menghimpunkan usahawan pelbagai peringkat, termasuk mikro, kecil dan sederhana bagi membolehkan mereka membina rangkaian kerjasama strategik serta saling melengkapi dalam rantaian perniagaan.

“Matlamat kami ialah memastikan setiap usahawan dapat berkembang ke peringkat seterusnya. MARA akan menjadi payung kepada mereka dengan MARA Corporation bertindak sebagai pemacu kepada usaha berkenaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top