JDT buat Selangor gigit jari

zulfaizan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super selepas menewaskan Selangor FC 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Skuad Harimau Selatan yang berjaya bangkit menewaskan UiTM 3-1, Ahad lalu, terpaksa menunggu hingga minit ke-45 untuk berada di depan hasil penyudah Bergson Da Silva yang menanduk masuk bola hantaran Matthew Davies.

Selangor bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-62 menerusi Ifedayo Olusegun yang menyudahkan hantaran Oliver Buff.

Ketika perlawanan berbaki 11 minit, Davies kembali meletakkan JDT di depan selepas rembatannya dari luar kotak penalti berjaya menewaskan penjaga gol, Khairul Azhan Khalid buat kali kedua.

Mohamadou Sumareh kemudian melengkapkan kemenangan bergaya Harimau Selatan selepas meledak gol ketiga pada masa kecederaan.

Keputusan itu menyaksikan JDT yang juga juara bertahan Liga Super tujuh kali berturut-turut mengumpul 36 mata selepas mengharungi 15 perlawanan musim ini.

Selangor pula berada di kedudukan kelima dengan menghimpun 20 mata hasil daripada lima kemenangan, lima kali kalah dan seri lima kali.

© New Straits Times Press (M) Bhd