Melaka United kejutkan TFC

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

bhsukan@bh.com.my

MELAKA: Melaka United beraksi garang menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam ini.

Kekalahan itu menyebabkan hajat anak buah Nafuzi Zain untuk menghambat Johor Darul Ta’zim (JDT) terjejas selepas ketinggalan enam mata dengan pendahulu liga itu yang membenam Selangor 3-1.

Tuan rumah memperoleh peluang terbaik membuka jaringan pada minit ke-24 namun rembatan Manuel Ott dari jarak 30 meter berjaya diselamatkan penjaga TFC, Mohd Suhaimi Husin.

Namun, aksi seperti kurang menjadi pelawat digunakan sebaik mungkin oleh pemain Melaka menerusi gerakan disusun Gary Steven Gobbat, Andriano Aparecido Narcizo dan Ott untuk membuka tirai jaringan.

Hasilnya gerakan satu dua antara Andriano dan Sony Norde berjaya dimanfaatkan Norde untuk mencipta gol pertama tuan rumah pada minit ke-36.

Tersentak dengan penguasaan skuad Hang Tuah, TFC pantas melakukan asakan yang lebih bertenaga menerusi tandukan Muhammad Faizal Abd Halim pada minit ke-38 selepas mengutip hantaran Mohd Faiz Nasir namun tinggi melepasi palang gol.

Bersambung babak kedua TFC berusaha bangkit bagi menyamakan kedudukan tetapi sepakan percuma David da Silva pada minit ke-52 dan rembatan Mohd Faiz (m-58) berjaya diselamatkan penjaga gol Mohd Khairul Fahmi Che Mat.

Sebaliknya, TFC yang menang besar ke atas Perak 5-0 sebelum ini dikejutkan dengan gol kedua tuan rumah menerusi Andriano pada minit ke-76.

© New Straits Times Press (M) Bhd