norhayati_nordin@hmetro.com.my
Bangi: Jenazah pemain dram kumpulan Meditasi, Allahyarham Raja Azreen Raja Talib, 57, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, di sini, jam 2.35 petang ini.
Pengebumian berjalan lancar dengan dihadiri kira-kira 50 orang termasuk ahli keluarga, rakan artis dan kenalan terdekat bagi memberi penghormatan terakhir.
Sebelum itu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Surau Bangi Perdana, Bandar Baharu Bangi, di sini, selepas solat Zohor.
Antara rakan artis seangkatan yang hadir ialah Burn dan Rosli selain Man Laksamana, Kamal Lestari serta Bard Eye.
Terdahulu, Allahyarham Raja Azreen meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada jam 10.58 malam semalam selepas rebah ketika menjayakan persembahan di Rock Festival Teruntum, Kuantan.
Berita pemergian mengejut Allahyarham dikongsikan teman rapatnya yang juga vokalis Meditasi iaitu Burn menerusi hantaran dimuatnaik di Facebook, pagi tadi.
Abang sulungnya, Raja Azman, 61, memaklumkan Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung.
Terdahulu, arwah pernah mendapatkan rawatan masalah jantung dan diabates di Hospital Cyberjaya pada Jun lalu.
Allahyarham Raja Azreen yang tidak berkahwin, menetap bersama ibunya, Raja Amnah Raja Othman, 86, di kediaman keluarga di Ulu Yam, Selangor.
Arwah yang juga anak kedua daripada empat beradik memilih hidup bujang demi berbakti menjaga ibu tersayang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




