am@hmetro.com.my
Jelebu: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mempersoalkan tuduhan dibuat beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) kononnya beliau melakukan penderhakaan.
Jalaluddin yang juga calon BN bagi DUN Pertang turut menegaskan tindakan beliau dan rakan lain sebelum ini hanyalah menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menurutnya, tuduhan dibuat beberapa pemimpin PH itu juga sebagai tidak masuk akal.
“Ada pemimpin daripada PH cakap bahawa saya derhaka. Saya tarik sokongan terhadap Menteri Besar, derhaka dekat siapa ni? Derhaka dekat Menteri Besar ke?
“Derhaka kepada Menteri Besar tidak boleh diistilahkan sebagai derhaka. Derhaka ini kepada raja, kepada Undang. Saya (hanya) tarik sokongan kepada Menteri Besar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Hari Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Jelebu di Felda Pasoh 4, hari ini.
Ahli Parlimen Jelebu itu juga menyifatkan, semua perkara itu perlu difahami oleh rakyat dan menggesa agar pemimpin PH tidak memutar belit isu berkenaan.
“Jangan ‘spin’ (putar belit) dan saya bagi tahu berkali-kali jangan tanam perasaan benci kepada rakyat atas sesuatu kelemahan yang kita buat.
“Kita buat sakit, kita buat demam, selepas itu kita salahkan orang kerana orang itu dia demam, kerana orang itu dia sakit. Zaman sudah berubah dan rakyat sudah matang,” katanya.
Menyentuh mengenai peristiwa semasa penamaan calon beliau ‘diboo’ dan disorak oleh penyokong PH semalam, Jalaluddin turut mempertikaikan tingkah laku itu.
“Semalam ketika pengumuman di Jelebu, apabila nak umumkan calon Pakatan Harapan (PH), saya tepuk. Kenapa saya tepuk? Adakah saya menyokong calon PH? Tidak (sebaliknya) saya menghargai, mengiktiraf kebebasan pilihan raya dan hak sesuatu parti untuk bertanding.
“Tapi apabila diumumkan nama saya sebagai calon Pertang, mereka ‘boo’, mereka sorakkan saya. Adakah ini perangai dan mentaliti rakyat di zaman sekarang?
“Jadi, sendiri nak ingatlah. Tapi tak mengapa, bagus (juga) macam itu. Rakyat boleh fikir yang mana boleh diundi dan yang mana tidak boleh diundi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




