Pelakon dan penyanyi Bella Astillah akhirnya bersuara apabila ada segelintir individu yang mengecam serta mempertikaikan fizikalnya.
Menerusi sesi siaran langsung semalam, Bella berkata ada yang memperkatakan mengenai fizikalnya namun dia kesal apabila ada yang membabitkan ibunya.
BACA: Bella Astillah Terharu Syed Saddiq Pakai Tali Leher Pemberiannya Setiap Kali Ke Mahkamah
“Dah lama saya nak cakap sebab ada yang pertikaikan fizikal saya. Ada peminat yang beri perhatian, contohnya hidung tak mancung dan tentang gigi saya. Kepada yang kecam sampai sanggup sunting gambar, tak baik. Keluarkan gambar lama ibu saya yang tak pakai tudung.
“Sebenarnya saya tak kisah anda nak cakap tentang saya tapi jangan cakap fasal ibu dan ayah saya. Kalau betul saya tak cantik, adakah akan menganggu kehidupan awak?” katanya.
Sementara itu, Bella berkata ada yang mempertikaikan mengenai latar belakangnya serta namanya serta menjelaskan tentang asal usul neneknya.
“Ada orang pertikai saya orang apa, kenapa nama ada Dayang, Awang. Itu kena tanya atuk dan nenek saya. Takkan saya nak tunjuk sijil lahir saya di sini. Saya cuma nak cakap tolong berhenti.
“Sebenarnya saya kaum Kendayan Brunei. Semestinya saya banyak campuran, arwah nenek saya orang Filipina. Korang nak cakap orang Dusun, Kadazan, Sungai, Suluk, Pelaut, Bajau, saya tak kisah dan saya bangga.
“Kalau boleh saya nak jadi orang Muar juga. Tak apa, post banyak-banyak. Saya bangga dengan semua kaum adalah manusia,” katanya.




