aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kekalahan di gelanggang sendiri pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 menjadi pembakar semangat buat Pearly Tan-M Thinaah, untuk bangkit lebih kuat sebagai beregu wanita nombor satu negara.
Dalam aksi sarat emosi di Axiata Arena, semalam, Pearly-Thinaah yang menghuni ranking kedua dunia itu akur tewas 24-26, 17-21 kepada pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji–Meilysa Trias, pasangan yang mereka tewaskan ketika merangkul emas di Sukan Sea Thailand Disember lalu.
Namun Pearly menegaskan bahawa dia dan Thinaah enggan membiarkan keputusan itu menjejaskan keyakinan diri mereka.
Pearly mengakui kekalahan di hadapan ribuan penyokong sendiri cukup perit, namun mereka perlu bangkit kerana fokus utama kini adalah membina semula keyakinan dan memperkukuhkan corak permainan.
“Untuk perlawanan seterusnya, kami kena bina keyakinan semula dan ikut perancangan permainan sendiri.
“Jangan biar satu kekalahan buat kami hilang arah. Kami perlu bangkit, bincang dengan jurulatih, tambah kualiti latihan dan kembali dengan keyakinan lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Thinaah mengakui lawan mempamerkan tahap permainan yang sangat tinggi, sambil menyifatkan kekalahan itu sebagai ruang penting untuk menilai kelemahan sendiri.
Dia turut menyentuh kebangkitan luar biasa mereka selepas ketinggalan 1-11 dalam set pertama, yang disifatkan banyak dibantu oleh sorakan padu penyokong.
“Sokongan peminat beri kami suntikan emosi yang besar. Ini satu proses pembelajaran buat kami sebagai atlet. Kami yakin boleh bangkit semula, saling menyokong antara satu sama lain dan mendapatkan kembali keyakinan,” katanya.
Bagi Pearly-Thinaah, kegagalan kali ini bukan penamat, sebaliknya langkah awal untuk kembali lebih bersedia dalam cabaran seterusnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




