Miami: Sebuah kapal penumpang mewah abad ke-20 yang pernah membawa pemimpin diraja, bintang filem dan lukisan terkenal ‘Mona Lisa’ ke Amerika Syarikat (AS), ditenggelamkan pada Rabu untuk dijadikan terumbu tiruan terbesar di dunia.
Baca juga: MHO kemuka 4 kes pelaburan disyaki tidak berlesen kepada BNM
Kapal SS United States sepanjang 990 kaki (302 meter) itu menjalani proses penenggelaman terkawal menerusi kemasukan air ke dalam badannya.
Kapal yang pernah melakukan lebih 800 pelayaran merentasi Lautan Atlantik pada 1950-an dan 1960-an itu bakal ditempatkan dasar berpasir Teluk Mexico, kira-kira 25 batu (40 kilometer) di barat daya Destin-Fort Walton Beach, Florida.
“Dua daripada injap sudah dibuka. Proses penenggelaman sudah bermula,” kata seorang pegawai menerusi siaran langsung yang dikendalikan pihak bandar raya.
Daerah Okaloosa di Florida membeli kapal yang sekian lama tidak beroperasi itu daripada sebuah kumpulan pemuliharaan dengan harga AS$1 juta (kira-kira RM4.15 juta) pada 2024 dengan harapan projek terumbu tiruan berskala besar itu mampu merancakkan pelancongan tempatan serta menarik peminat aktiviti menyelam dan memancing.
Kapal yang lebih panjang daripada Titanic itu pernah memegang rekod kelajuan pelayaran merentasi Atlantik. Ia bakal menjadi tarikan utama taman dasar laut Okaloosa yang turut menempatkan beberapa kapal karam termasuk kapal era Perang Dunia Kedua, bot tunda dan sebuah bot kasino.
Kapten Tim Mullane daripada syarikat maritim Coleen Marine yang berpangkalan di Alabama yang mengetuai projek penukaran kapal itu, menyifatkan usaha berkenaan sebagai satu penghormatan besar untuk menempatkan kapal itu di lokasi terakhirnya dan memberikannya kehidupan kedua sebagai habitat hidupan marin serta tarikan aktiviti menyelam dan memancing.
Proses penyediaan kapal itu mengambil masa setahun membabitkan kerja pembersihan, membuang bahan berbahaya seperti bahan api, cat dan pendawaian selain menunda kapal, melaksanakan pemulihan alam sekitar serta memastikan aspek keselamatannya sebelum ia ditenggelamkan.
Keseluruhan projek itu menelan belanja kira-kira AS$13.5 juta (kira-kira RM55.12 juta).
SS United States yang menjadi hasil kejuruteraan AS pada pertengahan abad ke-20 itu melakukan pelayaran sulungnya pada 1952.
Ketika zaman kegemilangannya, kapal mewah berkenaan pernah membawa ramai tokoh terkenal termasuk Presiden John F Kennedy, bekas Raja Edward VIII, Grace Kelly, Elizabeth Taylor dan Salvador Dali.
Bekas Presiden AS, Bill Clinton, turut pernah menaiki kapal itu ketika dalam perjalanan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Oxford.
Selain tokoh terkenal, kapal itu turut membawa lukisan Mona Lisa karya Leonardo da Vinci dari abad ke-16 ke AS pada 1963.
Bagaimanapun, kurang dua dekad selepas dibina, kapal itu tidak lagi beroperasi berikutan peningkatan populariti perjalanan udara.
Ia kemudian dibiarkan berlabuh di Philadelphia selama 29 tahun.
Kapal itu akan ditempatkan pada kedalaman 180 kaki (55 meter) manakala dek paling atasnya berada kira-kira 55 kaki (17 meter) di bawah permukaan air, membolehkan penyelam baharu turut meneroka bangkai kapal berkenaan.
Sebelum ini, rekod terumbu tiruan terbesar di dunia dipegang oleh sebuah kapal pengangkut pesawat yang ditenggelamkan kira-kira 20 tahun lalu di perairan luar pesisir Pensacola, Florida.
Pengarah pelancongan Daerah Okaloosa, Jennifer Adams Kemp berkata, usaha menjadikan SS United States sebagai terumbu tiruan membolehkan warisan kapal berkenaan terus dipelihara.
“Ia ialah kapal kebanggaan negara kita. Mengapa kita tidak mahu memeliharanya?” katanya kepada CNN tidak lama sebelum kapal itu ditenggelamkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd