ASUNCION: Kediaman rasmi Presiden Paraguay diserbu pihak berkuasa semalam bagi membantu siasatan berhubung kejatuhan salah sebuah bank terbesar negara itu.
Serbuan itu dipercayai berkait dengan kes membabitkan bekas Presiden, Santiago Pena, yang didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk memberi manfaat secara tidak sah kepada Ueno Bank.
Baca juga: Keadilan bukan ditentukan agama pemimpin – Nor Miswary
Pena kini ditahan sementara menunggu perbicaraan selepas berdepan tindakan pemecatan susulan krisis kewangan bank berkenaan.
Pada 3 November lalu, pengambilalihan Ueno Bank susulan kebimbangan terhadap kedudukan kewangannya menyebabkan ratusan ribu rakyat Paraguay tidak dapat mengakses akaun masing-masing.
Pejabat pendakwa raya dalam satu kenyataan mengesahkan serbuan di kediaman rasmi presiden itu adalah sebahagian daripada siasatan berhubung kes membabitkan bekas pemimpin berkenaan.
Dalam perkembangan sama, seorang pegawai Bank Pusat, Holger Insfran, ditahan selepas pihak berkuasa menyerbu kediamannya di ibu negara, Asuncion, pada Khamis.
Sementara itu, Manuel Astigarraga, orang kanan kepada eksekutif kanan Ueno, Miguel Vazquez, menyerah diri kepada polis.
Bekas Ketua Bank Pusat, Carlos Carvallo, yang pernah menerajui Ueno Bank, sebelum ini diperintahkan menjalani tahanan sementara menunggu perbicaraan.
Dalam serbuan di kediaman peribadi Pena di ibu negara pada Isnin, pihak berkuasa merampas dokumen, telefon bimbit dan komputer.
Pena, 47, sebelum ini memiliki saham dalam syarikat induk Ueno sebelum menjualnya tahun lalu.
Beliau didakwa menggunakan pengaruhnya sebagai presiden untuk menyalurkan deposit kerajaan bernilai jutaan dolar kepada Ueno, selain menyembunyikan atau memperkecilkan masalah kewangan bank itu meskipun telah diberi amaran mengenai pinjaman meragukan dan masalah kemampuan membayar hutang.
Bagaimanapun, Pena menafikan semua pertuduhan terhadapnya.
The post Bekas Presiden Paraguay disiasat dalam skandal bank appeared first on Utusan Malaysia.