MENTERI Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari memberi jaminan isu membabitkan Pengarah Teknikal Program Berbasikal negara John Beasley akan ditangani secara menyeluruh bagi memastikan pembangunan sukan itu tidak terjejas.
Katanya, kegusaran yang dibangkitkan Beasley, termasuk dakwaan wujudnya unsur politik, kerenah birokrasi serta kekangan pembangunan akar umbi telah dikenal pasti lebih awal.
“Majlis Sukan Negara (MSN) telah mengadakan sesi dialog awam pada 8 Jun lepas melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), persatuan negeri, jurulatih serta Beasley sendiri bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Perbincangan itu bertujuan mencapai kata sepakat, khususnya dalam aspek pemilihan atlet, termasuk isu pelepasan atlet oleh persatuan negeri untuk menyertai kejohanan di peringkat kebangsaan,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Kelayakan Sukan Asia Honor of Kings di sini pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan Beasley dijangka melepaskan jawatan lebih awal, iaitu pada penghujung tahun ini walaupun kontraknya hanya berakhir pada 31 Januari tahun depan, susulan kekecewaan yang semakin memuncak terhadap beberapa isu dalaman sukan berbasikal negara.
Mohammed Taufiq berkata, pihaknya melalui MSN akan mengadakan pertemuan bersama Beasley dan PKBM dalam masa terdekat bagi memastikan semua pihak mencapai titik persetujuan.
Beliau turut memaklumkan Beasley memberi jaminan akan terus menjalankan tugas seperti biasa sekurang-kurangnya sehingga tamat temasya utama tahun ini, termasuk Sukan Komanwel 2026 dan Sukan Asia 2026.
“Persiapan atlet tidak akan terjejas dan beliau masih komited untuk menerajui pasukan bagi menghadapi kejohanan utama tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mohammed Taufiq berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited menyediakan platform perbincangan yang inklusif melibatkan semua pemegang taruh bagi merangka penambahbaikan jangka panjang, termasuk aspek tadbir urus dan pembangunan akar umbi.
“Sesi perbincangan ini akan diteruskan dan kami tidak mahu keputusan dibuat secara sebelah pihak. Apa yang penting, setiap keputusan perlu memberi manfaat kepada atlet dan negara,” katanya. – Bernama



